Skip to main content

Dunia

Pakatan Pertahanan Mekah bersifat pertahanan semata-mata, terbuka kepada negara lain - Pakistan

KUALA LUMPUR, July 11 — Pakistan’s Deputy Prime Minister and Foreign Minister Mohammad Ishaq Dar at the 32nd ASEAN Regional Forum, in conjunction with the 58th ASEAN Foreign Ministers’ Meeting (AMM) and related meetings at the Kuala Lumpur Convention Centre today.  — fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED
Dar berkata Perjanjian Pertahanan Mekah selaras dengan tonggak utama dasar luar Pakistan, dan Islamabad berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan semua negara sahabat di rantau itu. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

ISLAMABAD: Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar pada Ahad berkata perjanjian pertahanan tiga pihak Mekah yang dimeterai minggu lepas oleh Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan bersifat "pertahanan semata-mata" serta tidak disasarkan terhadap mana-mana negara, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di platform X, Dar berkata satu-satunya tujuan Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah adalah untuk memperkukuh lagi usaha bersama ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau yang lebih luas.

Perjanjian yang ditandatangani oleh ketiga-tiga negara itu pada Jumaat di kota suci Mekah menetapkan bahawa serangan ke atas mana-mana satu daripada negara berkenaan sebagai serangan terhadap ketiga-tiganya.

Dar berkata pakatan pertahanan itu terbuka kepada mana-mana negara di rantau berkenaan yang bersedia menjunjung prinsip asasnya serta menyelesaikan pertikaian menerusi "saling menghormati, kerjasama dan cara aman."

Beliau mengulangi bahawa menurut perjanjian itu, sebarang serangan bersenjata dari luar ke atas mana-mana satu daripada tiga negara terbabit akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya, selaras dengan hak semula jadi untuk mempertahankan diri secara individu dan kolektif di bawah Perkara 51 Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menurut beliau, pakatan itu tidak membatalkan atau menggantikan mana-mana perjanjian dua hala atau pelbagai hala sedia ada antara negara-negara berkenaan atau dengan negara serta organisasi lain.

Perjanjian Mekah itu, katanya, "merupakan kemuncak perbincangan dan penyelarasan selama bertahun-tahun, yang didorong oleh hasrat bersama untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam menangani pelbagai cabaran keamanan dan keselamatan serta memajukan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau."

Dar berkata pakatan itu selaras dengan tonggak utama dasar luar Pakistan, dan Islamabad berharap dapat terus bekerjasama rapat dengan semua negara sahabat di rantau itu demi keamanan dan kestabilan yang berkekalan.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement