INTERNATIONAL
Pakistan, Bangladesh, India dan Sri Lanka sambut Aidilfitri pada Isnin

Inai yang dipakai di tangan antara persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dilakukan kaum wanita di Lahore, Pakistan. - Gambar AP
NEW DELHI: Umat Islam di Bangladesh, Pakistan, India dan Sri Lanka akan menyambut Aidilfitri pada Isnin.
Badan Islam Sri Lanka, All Ceylon Jamiyyathul Ulama, mengumumkan anak bulan Syawal telah kelihatan pada Ahad.
Jawatankuasa pusat melihat anak bulan Pakistan di Islamabad turut mengesahkan penampakan anak bulan baharu itu.
Ia menandakan berakhirnya bulan suci Ramadan dan permulaan Syawal, bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah.Ketua Penasihat kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus, menyampaikan ucapan selamat kepada rakyat sempena perayaan ini.
"Saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua," katanya dalam satu kenyataan.
"Semoga kehidupan kita semua lebih bermakna dan dipenuhi kegembiraan. Semoga Allah membantu kita semua," katanya.
Sarjana Islam di Delhi dan beberapa kawasan lain di India turut mengumumkan bahawa anak bulan Syawal 1446 Hijrah telah kelihatan.
Umat Islam di seluruh Asia Selatan akan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid dan tanah lapang.
Arab Saudi, Turkiye, Maldives dan kebanyakan negara Arab telah meraikan Aidilfitri pada Ahad selepas anak bulan dilihat pada Sabtu malam.
Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, pada Sabtu dan Ahad menghubungi beberapa pemimpin Islam, termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Sultan Oman, Sultan Haitham Bin Tariq Al Said; Raja Jordan, Raja Abdullah; Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev; Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev; Presiden Mesir, Abdel Fattah El Sisi dan Amir Qatar, Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani untuk bertukar-tukar ucapan Aidilfitri.
"Saya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri yang penuh keberkatan, ketika kita menamatkan bulan suci Ramadan, bulan yang diberikan Allah SWT kepada kita untuk berpuasa, beribadah dan menguatkan rohani," katanya dalam hantaran di X.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami