KARACHI: Pakistan dan Mesir pada Ahad mengulangi gesaan agar semua pihak bertenang dan mengurangkan ketegangan di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak di Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi.
Kedua-dua negara turut mengecam pencerobohan terbaharu Israel di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.
Advertisement
Perkara itu dizahirkan dalam pertemuan antara Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar dan rakan sejawatnya dari Mesir, Badr Abdelatty, menurut kenyataan Kementerian Luar Pakistan.
Abdelatty kini dalam rangka lawatan dua hari ke Islamabad bagi menyertai mesyuarat empat hala peringkat menteri luar untuk membincangkan usaha pengantaraan bagi menamatkan konflik berkenaan.
Kedua-dua menteri bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, khususnya situasi di Timur Tengah, sambil menekankan keperluan untuk bertenang, mengurangkan ketegangan, serta menyelesaikan pertikaian melalui dialog dan diplomasi.
Dar mengulangi sokongan "tidak berbelah bahagi" Pakistan terhadap rakyat Palestin dan mengecam sekeras-kerasnya pencerobohan berterusan oleh tentera Israel di Gaza dan Tebing Barat.
Beliau turut menghargai peranan Mesir dalam memudahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, termasuk sokongan yang diberikan kepada usaha bantuan dari Pakistan.
-- BERNAMA-ANADOLU