WASHINGTON: Ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan Kanada dilaporkan semakin melebar apabila Bahagian Antimonopoli Jabatan Kehakiman AS dikatakan diarahkan menghentikan sementara semua bentuk kerjasama dengan kerajaan Kanada, menurut laporan Wall Street Journal pada Jumaat.
Memetik emel dalaman yang diperoleh akhbar itu, arahan tersebut didakwa dikeluarkan ketika pertikaian perdagangan antara kedua-dua negara jiran itu semakin memuncak.
Bagaimanapun, Jabatan Kehakiman AS segera menafikan laporan berkenaan dan menyifatkannya sebagai tidak tepat.
Dalam kenyataan kepada Reuters, jabatan itu menegaskan arahan seperti yang dilaporkan tidak pernah diberikan kepada mana-mana pegawai.
Sebaliknya, jabatan berkenaan menjelaskan pasukan antimonopolinya hanya diminta menangguhkan sementara satu mesyuarat berkaitan siasatan tertentu bagi memberi lebih masa kepada pegawai untuk membuat persediaan.
White House dan kerajaan Kanada setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi sebagai maklum balas terhadap laporan tersebut.
Hubungan antara Washington dan Ottawa yang sekian lama dianggap erat semakin tegang sejak Presiden Donald Trump kembali ke White House pada awal 2025.
Pertikaian perdagangan yang berlarutan menyaksikan kedua-dua negara mengenakan tarif melibatkan perdagangan rentas sempadan bernilai puluhan bilion dolar.
Trump juga beberapa kali mencetuskan kontroversi apabila mencadangkan Kanada sepatutnya menjadi sebahagian daripada AS.
Minggu lalu, beliau turut mengarahkan Tasik Ontario dirujuk sebagai "Lake America" bagi tujuan pentadbiran kerajaan persekutuan AS, walaupun langkah itu tidak memberi kesan terhadap penggunaan nama rasmi tasik berkenaan oleh Kanada atau negara lain.
Menurut Wall Street Journal, Ketua Bahagian Antarabangsa Antimonopoli Jabatan Kehakiman AS, Lynda Marshall, melalui satu e-mel yang dihantar pada Rabu, mengarahkan pegawai menghentikan segala bentuk kerjasama dalam kes-kes siasatan serta perbincangan dasar melibatkan pihak berkuasa Kanada.
Laporan itu turut menyatakan tiada sebab khusus diberikan berhubung arahan tersebut.
Dalam perkembangan sama, ketua-ketua seksyen dalam bahagian itu juga dilaporkan diarahkan pada Jumaat untuk menyediakan senarai terperinci mengenai bidang kerjasama yang sedang dijalankan bersama Kanada sebelum penghujung hari.
Jika benar berlaku, langkah itu dilihat berpotensi menjejaskan kerjasama penguatkuasaan antimonopoli antara kedua-dua negara yang selama ini sering bekerjasama dalam menangani isu persaingan perniagaan merentas sempadan. - Agensi