Skip to main content

Malaysia

Karnival sempena F1 di Sepang turut diperluas ke Putrajaya

SEPANG, 4 Sept - Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari bergambar bersama peserta sebelum melakukan flag-off Larian Circuit Dash Kementerian Belia dan Sukan (KBS) X Sepang International Circuit (SIC) 2026 di SIC hari ini. Turut sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Rahimi Ismail - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohammed Taufiq bergambar bersama peserta sebelum melakukan flag-off Larian Circuit Dash KBS X SIC 2026 di SIC pada Jumaat. - Gambar Bernama
Advertisement

SEPANG: Penganjuran karnival dan program sempena perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bulan depan tidak hanya tertumpu di litar berkenaan tetapi turut diperluaskan ke sekitar Putrajaya.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pendekatan itu diambil bagi membolehkan lebih ramai masyarakat menikmati kemeriahan acara F1 berkenaan berikutan akses ke Putrajaya yang lebih mudah serta mempunyai jumlah pengunjung yang ramai.

“Sepanjang tiga hari penganjuran itu, akan berlangsung beberapa karnival. Selepas acara itu, akan ada juga karnival lain seperti konsert dan sebagainya. Karnival ini tidak hanya berpusat dan bertumpu di SIC tetapi dianjurkan di sekitar Putrajaya.

“Putrajaya aksesnya lebih mudah, pengunjung lebih ramai dan lebih ramai lagi akan dapat menyertai karnival atau program yang dianjurkan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Circuit Dash KBS x SIC Run 2026 di SIC, di sini, pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dr Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi menyediakan ruang kepada peniaga tempatan termasuk pelajar, veteran dan peniaga kecil dalam radius lebih dua kilometer dari SIC.

Beliau bagaimanapun berkata, ruang niaga dalam radius SIC membabitkan gerai yang telah ditetapkan atau dipersetujui oleh Litar Antarabangsa Bahrain.

Dr Mohammed Taufiq ketika mengulas mengenai persiapan SIC menjelang perlumbaan itu berkata persiapan kini berada pada tahap sangat baik dengan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf litar telah mula dilakukan.

“Persiapan sangat baik. Cuma sekarang ini kita sudah pun memasuki fasa untuk baik pulih dan juga naik taraf SIC dengan kerja-kerja pembaikan yang akan bermula 7 Sept ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Mohammed Taufiq merasmikan acara larian Circuit Dash KBS x SIC Run 2026 yang disertai lebih 7,000 peserta, memberi peluang kepada orang ramai merasai pengalaman berada di litar berkenaan sebelum ia ditutup bagi kerja-kerja pembaikan dan naik taraf.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement