Skip to main content

Dunia

Palang Merah Singapura sumbang S$50,000 untuk bantuan gempa bumi Colombia

Rescue workers and residents stand atop a collapsed building in the aftermath of an earthquake in Cali, Colombia, August 10, 2026 in this screengrab taken from a video. REUTERS/Reuters TV
Gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda barat Colombia mengorbankan lebih 250 nyawa, dengan lebih 100 gempa susulan direkodkan. - Gambar fail/REUTERS
Advertisement

SINGAPURA: Persatuan Palang Merah Singapura (SRC) menyumbang S$50,000 sebagai bantuan kemanusiaan kepada Colombia susulan kejadian gempa bumi yang melanda negara itu pada Isnin.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, SRC memaklumkan sumbangan itu akan disalurkan kepada rakan Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, termasuk Palang Merah Colombia.

"Sumbangan ini akan melengkapi tindak balas kemanusiaan dipimpin pihak tempatan serta menyokong usaha kemanusiaan segera seperti perlindungan sementara, makanan dan bekalan bantuan asas, serta penjagaan kesihatan kecemasan," menurut kenyataan itu.

Gempa bumi berukuran 7.4 pada skala Richter yang melanda barat Colombia itu telah mengorbankan lebih 250 nyawa, dengan lebih 100 gempa susulan direkodkan sekali gus mencetuskan risiko berterusan kepada komuniti terjejas dan pasukan penyelamat.

Sementara itu, SRC turut menyalurkan peruntukan peringkat kedua bernilai S$50,000 bagi menyokong usaha bantuan dan pembinaan semula oleh Palang Merah Venezuela susulan kejadian gempa bumi berganda yang melanda wilayah berkenaan pada Jun.

Sumbangan itu adalah tambahan kepada peruntukan peringkat pertama berjumlah S$100,000 kepada Palang Merah Venezuela dan Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), menjadikan jumlah keseluruhan sokongan bagi tindak balas gempa bumi Venezuela sebanyak S$150,000.

"Peruntukan peringkat kedua SRC ini melengkapi tindak balas dipimpin pihak tempatan dan mencerminkan komitmen berterusan persatuan melampaui fasa kecemasan awal memandangkan komuniti terjejas menghadapi tempoh pemulihan yang lebih panjang," menurut kenyataan itu lagi.

Pengerusi SRC Tan Kai Hoe menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Timbalan Ketua Misi Kedutaan Colombia di Singapura Yesid Bonilla dan Duta Venezuela ke Singapura Jessica Lopez pada majlis makan malam “Humanitarian Night” SRC pada Rabu.

(S$1=RM3.19)

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement