DUNIA
Palestin gesa CEAPAD ambil pendirian politik lebih padu hadapi krisis

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerima kunjungan oleh Dr Estephan Salameh dan wakil UNRWA, Natalie Boucly pagi tadi. - Gambar/ FB Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Palestin menggesa negara anggota Persidangan Kerjasama antara Negara-negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) untuk mengambil pendirian lebih padu dan bersatu terhadap dimensi politik berkaitan krisis itu, melangkaui bantuan pembangunan dan bantuan teknikal.
Ringkasan AI
- Menteri Palestin Dr Estephan Salameh menggesa negara anggota CEAPAD agar mengambil pendirian politik lebih tegas dalam menyokong Palestin, melangkaui bantuan pembangunan dan teknikal, khususnya dalam usaha menamatkan penjajahan dan menubuhkan negara merdeka.
- Mesyuarat CEAPAD IV berlangsung dalam suasana kritikal bagi rakyat Palestin dan menumpukan kepada pembinaan kapasiti, pemulihan infrastruktur kritikal serta penyampaian bantuan kemanusiaan yang berkesan.
- Duta Palestin ke Malaysia menekankan bahawa CEAPAD telah menjadi platform penting untuk perpaduan politik dan menyokong hak rakyat Palestin dalam menentukan nasib, kedaulatan, dan kebebasan negara mereka.
Dr Salameh berkata mesyuarat CEAPAD tahun ini diadakan pada masa kritikal dan menyakitkan bagi rakyat Palestin.
"Mesyuarat tahun ini berlangsung dalam keadaan yang sangat sukar. Kita berada di sini ketika rakyat Palestin menghadapi genosid dan salah satu pendudukan paling kejam," katanya.
Edisi keempat CEAPAD (CEAPAD IV) hari ini akan menumpukan pada pembinaan kapasiti, pembinaan semula infrastruktur kritikal di Palestin dan penyampaian bantuan kemanusiaan komprehensif yang berkesan.
Mesyuarat itu akan dipengerusikan bersama oleh Dr Salameh bersama Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar Jepun Takeshi Iwaya.
Mesyuarat CEAPAD IV itu diadakan bersempena dengan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di bawah Kepengerusian ASEAN Malaysia.
CEAPAD kini dianggotai Jepun, Palestin, Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.
Sementara itu, Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata CEAPAD telah berkembang menjadi platform bermakna untuk perpaduan dan penjajaran politik dalam kalangan negara-negara di Asia Timur dan Asia Tenggara.
"CEAPAD mewakili gabungan unik beberapa negara yang bersedia menyokong pembinaan negara Palestin bukan sahaja menerusi bantuan dan pembangunan kapasiti tetapi turut mengesahkan bahawa rakyat Palestin harus diberi hak sepenuhnya untuk menentukan nasib dan martabat negara sendiri, hak kebebasan nasional dan kedaulatan serta hak kebebasan bergerak" katanya.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami