Skip to main content

Dunia

Palestin gesa sekatan, embargo senjata terhadap Israel

Israeli forces raid Askar refugee camp in Nablus, in the Israeli-occupied West Bank, September 4, 2026. REUTERS/Ammar Awad
Masyarakat antarabangsa mesti mengambil langkah konkrit dan tidak sekadar mengecam, termasuk mengenakan sekatan serta embargo senjata terhadap Israel, kata Timbalan Menteri Luar (Hal Ehwal Politik) Palestin Dr Omar Awadallah. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Masyarakat antarabangsa mesti mengambil langkah konkrit dan tidak sekadar mengecam, termasuk mengenakan sekatan serta embargo senjata terhadap Israel, kata Timbalan Menteri Luar (Hal Ehwal Politik) Palestin Dr Omar Awadallah.

Beliau berkata langkah sedemikian perlu bagi menghentikan genosid di Semenanjung Gaza, menghalang perluasan penempatan haram Israel dan pengilhakan di Tebing Barat serta menghentikan keganasan peneroka haram Israel terhadap rakyat Palestin.

“Kita bercakap mengenai sekatan bukan kerana kita menyukai sekatan, tetapi kerana kita kini berdepan dengan rejim penyangak yang tidak dapat disentuh oleh undang-undang antarabangsa,” katanya dalam temu bual secara maya menerusi program Bernama World terbitan Bernama TV bertajuk “Palestine Beyond The Headlines: The Push For Statehood” pada Khamis.

Omar berkata embargo senjata akan menghalang Israel daripada menggunakan senjata yang dibekalkan negara lain untuk membunuh rakyat Palestin, manakala sekatan yang menyasarkan penempatan haram Israel, produk dari penempatan haram itu serta institusi kewangan boleh membantu menamatkan kegiatan penempatan haram berkenaan.

“Kami tidak meminta sekatan sebagai suatu ‘kemewahan’, sebaliknya atas dasar keperluan dan kerana masyarakat antarabangsa mempunyai kewajipan untuk bertindak,” katanya.

Beliau turut menggesa sokongan antarabangsa yang lebih besar kepada kerajaan Palestin dan belanjawannya bagi memperkukuh daya tahan masyarakat Palestin dalam menghadapi krisis kewangan yang berpanjangan.

Omar berkata ketidakupayaan kerajaan membayar gaji anggota keselamatan, petugas penjagaan kesihatan, guru dan kakitangan awam lain telah menjejaskan dengan teruk perkhidmatan penting, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, perlindungan sosial, bekalan air dan sanitasi.

Beliau berkata kekurangan sumber kewangan turut menghalang kerajaan daripada membaiki infrastruktur yang rosak dan membina semula institusi yang terjejas, manakala kadar pengangguran kekal tinggi dan pembangunan pada hakikatnya telah terhenti.

Menurut timbalan menteri itu, situasi berkenaan bertujuan melemahkan kerajaan Palestin dan mewujudkan keputusasaan dalam kalangan rakyat Palestin, yang berpotensi memaksa mereka meninggalkan tanah air mereka.

Mengenai keutamaan Palestin pada sesi ke-81 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), beliau berkata masyarakat antarabangsa perlu mengambil “langkah positif yang tidak boleh ditarik balik”, termasuk mengiktiraf Negara Palestin dan menyokong keanggotaan penuhnya dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Beliau berkata Palestin juga akan berusaha mendapatkan langkah akauntabiliti yang lebih tegas terhadap Israel, sokongan lebih besar terhadap Deklarasi New York sebagai pelan hala tuju ke arah pelaksanaan penyelesaian dua negara serta usaha antarabangsa untuk menamatkan pendudukan Israel.

Omar berkata objektif utama adalah untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat serta menyatukan semula rakyat Palestin di Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis dan Gaza.

Beliau turut menggesa masyarakat antarabangsa melindungi peranan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang beroperasi di wilayah Palestin yang diduduki, khususnya Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), yang menurutnya berdepan serangan yang semakin meningkat.

Selain itu, Omar mengalu-alukan langkah yang diambil Malaysia dan negara lain terhadap penempatan haram Israel, sambil menegaskan bahawa tindakan praktikal adalah penting bagi menghalang keganasan dan perluasan wilayah selanjutnya.

“Tanpa tindakan, Israel akan semakin terdorong untuk membunuh lebih ramai orang, menawan lebih banyak wilayah dan mengancam demografi kami,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement