Skip to main content

Dunia

Palestin kecam keganasan pendatang haram Israel di Tebing Barat

Palestinians pray next to the bodies of Palestinians during their funeral who were killed in a deadly shooting incident, according to Israeli and Palestinian health officials, near the village of Tal, in Nablus, in the Israeli-occupied West Bank, July 25, 2026. REUTERS
Empat rakyat Palestin terkorban dibunuh oleh pendatang haram Israel di barat daya Nablus. - Gambar/ Reuters
Advertisement

RAMALLAH: Pejabat Presiden Palestin pada Jumaat mengecam jenayah tentera pendudukan Israel dan kumpulan pelampau Yahudi terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Kecaman itu dibuat selepas pembunuhan empat rakyat Palestin oleh pendatang haram Israel di barat daya Nablus, serta serangan terhadap orang awam dan harta benda mereka di Urif, Surra, Imatin, Far'ata, Umriha dan Masafer Yatta.

Pejabat Presiden turut mengecam serbuan tentera Israel di Hospital Pakar Nablus yang menyaksikan petugas perubatan dan orang awam diugut serta diserang, selain dua rakyat Palestin dibawa secara paksa.

Kerajaan Israel dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas jenayah yang dilakukan kumpulan pendatang terhadap rakyat Palestin yang tidak bersenjata hampir setiap hari.

Menurut Pejabat Presiden, seramai 87 rakyat Palestin terbunuh sejak awal tahun ini, termasuk 21 akibat ditembak puak pelampau Israel.

Kerajaan Israel turut dituduh memberi sokongan kewangan dan politik kepada kumpulan pendatang bagi memperhebat serangan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis, serta melaksanakan rancangan pemindahan secara paksa.

Pada masa sama, Israel terus melancarkan serangan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza meskipun gencatan senjata telah diumumkan.

Pejabat Presiden memberi amaran bahawa jenayah dan pelanggaran yang berterusan terhadap rakyat Palestin semakin mendorong Tebing Barat yang diduduki ke arah ketegangan.

Ia turut mengecam keputusan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan menteri pertahanannya susulan jenayah yang dilakukan tentera pendudukan di kampung Tall.

Keputusan itu termasuk mempercepat pembinaan dan pengesahan pos penempatan haram, memperkukuh kehadiran tentera di seluruh Tebing Barat yang diduduki, memperhebat serbuan serta mengenakan kepungan ke atas Nablus dan kawasan sekitarnya.

Pejabat Presiden menggesa pentadbiran Amerika Syarikat (AS) campur tangan dan mendesak Israel menghentikan tindakan jenayah pendatang haram Israel.

Ia memberi amaran bahawa keadaan semasa, sekiranya berterusan, boleh mengheret seluruh rantau ke arah akibat yang lebih buruk.

Masyarakat antarabangsa turut digesa menunaikan tanggungjawab moral dan undang-undang dengan menghentikan tindakan Israel, memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin serta memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas jenayah berkenaan.

-- BERNAMA-WAFA

 

 

Must Watch Video

Advertisement