Skip to main content

Dunia

Parlimen Eropah tangguh pelaksanaan perjanjian tarif EU-AS

41768772470_TariffsEUflag.jpg
“Kami mahu mendapatkan kepastian dari AS bahawa mereka menghormati perjanjian itu." - Gambar fail

BRUSSELS: Parlimen Eropah menangguhkan undian bagi melaksanakan perjanjian tarif antara Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS), kata Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa Parlimen itu pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Kami mahu mendapatkan kepastian dari AS bahawa mereka menghormati perjanjian itu,” kata Bernd Lange selepas mengadakan rundingan dengan Ahli Parlimen EU yang lain.

Advertisement

Musim panas lepas, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen dan Presiden AS, Donald Trump bersetuju menetapkan kadar tarif maksimum 15 peratus bagi kebanyakan import EU ke AS.

Perjanjian yang mengikat secara sah yang dirangka bersama AS itu masih memerlukan kelulusan Parlimen Eropah.

Bagaimanapun, pada Jumaat, Mahkamah Agung AS memberi tamparan hebat kepada dasar perdagangan Trump dengan memutuskan bahawa asas undang-undang yang digunakan bagi mengenakan banyak tarif terhadap hampir semua rakan dagang negara itu adalah sebagai tidak berperlembagaan.

Susulan keputusan itu, Trump pada Jumaat mengumumkan tarif import global AS sebanyak 10 peratus sebelum menaikkannya kepada 15 peratus pada Sabtu.

Lange berkata, perkembangan itu boleh menyebabkan levi sehingga 30 peratus dikenakan ke atas sesetengah kumpulan produk, walaupun had 15 peratus diperuntukkan dalam perjanjian tarif EU-AS.

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video