PHNOM PENH: Parti pemerintah Kemboja, Parti Rakyat Kemboja (CPP) meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Senat negara itu pada Ahad, menurut jurucakap parti.

Jurucakap CPP, Sok Eysan yang merujuk kepada keputusan awal berkata CPP memenangi majoriti besar undi dalam pilihan raya berkenaan.

"CPP memenangi sekurang-kurangnya 50 daripada 58 kerusi Senat yang dipertandingkan atau lebih 80 peratus daripada jumlah undi keseluruhan.

"Ini adalah satu lagi kejayaan besar bagi CPP selepas kami memenangi kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada Julai 2023," katanya kepada Xinhua.

Jurucakap itu turut mengesahkan bahawa bekas Perdana Menteri yang juga Presiden CPP, Samdech Techo Hun Sen, 71, akan mengambil alih jawatan presiden Dewan Senat selepas pilihan raya.

Presiden Dewan Senat akan memangku tugas ketua negara semasa raja berada di luar negara.

Dewan Senat mempunyai 62 kerusi, tetapi undian diadakan untuk 58 kerusi kerana dua senator akan dilantik oleh Raja Kemboja Norodom Sihamoni manakala dua lagi oleh Dewan Negara.

Sebanyak empat parti politik mengambil bahagian dalam pilihan raya pada Ahad iaitu CPP, Parti Funcinpec, Khmer Will Party dan Nation Power Party.

Jawatankuasa Pilihan Raya Kebangsaan (NEC) berkata 11,730 atau 99.86 peratus daripada 11,747 pengundi yang layak mengundi dalam pilihan raya di 33 pusat mengundi di seluruh negara.

-- BERNAMA