"Rundingan politik yang serius" adalah perlu untuk mencari satu penyelesaian bagi keamanan berkekalan di Venezuela, kata jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Rabu, lapor agensi berita China Xinhua.

"Apabila kita melihat apa yang berlaku ketika ini, ia menjadi semakin jelas bahawa rundingan politik yang serius antara pihak terbabit adalah perlu untuk mencari satu penyelesaian bagi keamanan berkekalan untuk rakyat Venezuela," kata Stephane Dujarric.

Beliau berkata demikian semasa satu taklimat rutin dengan pemberita sebagai respons kepada soalan mengenai bantuan kemanusiaan kepada rakyat Venezuela.

"Saya fikir adalah baik untuk menyatakan semula beberapa prinsip asas," katanya.

"Pertama, apabila di mana-mana negara terdapat satu jurang yang serius dari segi pemakanan atau penjagaan kesihatan asas, termasuk vaksinasi, itu sememangnya adalah satu isu kemanusiaan yang serius."

"Bantuan kemanusiaan PBB haruslah berdasarkan keperluan dan dilaksanakan sesuai dengan prinsip kemanusiaan, keneutralan, saksama serta bebas," kata Dujarric.

"Tindakan kemanusiaan perlu bebas daripada sebarang unsur politik, ketenteraan atau tujuan lain."

Beliau kemudian merayu agar rundingan sedemikian diadakan.

TONTON: Juan Guaido keluar dari Venezuela, semua aset dibekukan

BACA: Kami tidak mahu pihak lain campuri urusan negara - Duta Venezuela

TONTON: Kesatuan Eropah beri kata dua kepada Venezuela


Venezuela telah terjerumus dalam kancah ekonomi dan politik yang sukar selepas pemimpin pembangkang Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara dan diiktiraf oleh Amerika Syarikat serta beberapa negara lain, yang mencetuskan kebimbangan berhubung campur tangan tentera asing.

Nicolas Maduro telah dipilih semula pada Mei 2018 dan telah mengangkat sumpah sebagai presiden Venezuela pada 10 Jan bagi tempoh enam tahun lagi.

Mendakwa pentadbiran Maduro sebagai tidak sah, Guaido, yang juga presiden Dewan Perhimpunan Kebangsaan, mengisytiharkan dirinya sebagai presiden sementara semasa satu perhimpunan antikerajaan pada 23 Jan.

-- BERNAMA