NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi baharu bagi menggalakkan penggunaan peta dunia yang memaparkan saiz benua dan negara dengan lebih tepat.
Resolusi itu mengesyorkan penggunaan unjuran Equal Earth yang dibangunkan pada 2018 bagi menggantikan unjuran Mercator yang diperkenalkan oleh Gerardus Mercator pada 1569.
Unjuran Mercator yang digunakan secara meluas di sekolah selama lebih 400 tahun sebelum ini sering dikritik kerana herotan saiz, termasuk menggambarkan Greenland seolah-olah mempunyai keluasan hampir sama dengan benua Afrika.
Melalui unjuran Equal Earth, herotan itu diperbetulkan dengan memaparkan saiz Greenland yang jauh lebih kecil berbanding Afrika, yang sebenarnya kira-kira 14 kali lebih besar.
Resolusi bertajuk"Correct the Map" itu dipelopori oleh Togo bagi pihak Kumpulan Afrika dan diluluskan dengan sokongan 164 negara anggota.
Bagaimanapun, enam negara mengambil keputusan berkecuali iaitu Serbia, Estonia, Georgia, Lithuania, Moldova dan Ukraine, manakala Amerika Syarikat menjadi satu-satunya negara yang mengundi menentang.
Resolusi berkenaan tidak mengikat dan bertujuan menggalakkan kerajaan, institusi pendidikan, organisasi antarabangsa serta media menggunakan unjuran Equal Earth, bukannya mewajibkan penamatan penggunaan unjuran Mercator sepenuhnya.
Unjuran Mercator bagaimanapun masih dianggap berguna untuk tujuan navigasi maritim dan penerbangan kerana keupayaannya memaparkan haluan perjalanan yang selaras dengan arah kompas.