PBB seru sokongan global untuk Jamaica selepas dilanda taufan Melissa

Guterres berkata Jamaica kini sedang berdepan kesan taufan kategori 5 yang membawa hujan lebat, ombak besar dan banjir besar yang memusnahkan. - Gambar fail Reuters/Pierre Albouy
NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres pada Ahad menyatakan solidariti terhadap rakyat Jamaica susulan kesan dahsyat Taufan Melissa, sambil menekankan kepentingan sokongan antarabangsa untuk menghadapi kesan bencana berskala besar itu, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas panggilan telefon dengan Perdana Menteri Jamaica Andrew Holness, Guterres berkata negara itu kini sedang berdepan kesan taufan kategori 5 yang membawa hujan lebat, ombak besar dan banjir besar yang memusnahkan.
Guterres menyeru supaya sumber besar-besaran digerakkan bagi menangani kerugian dan kemusnahan akibat taufan itu.
Penyelaras Bantuan Kecemasan PBB Tom Fletcher mengumumkan peruntukan sebanyak US$4 juta daripada Tabung Tindak Balas Kecemasan Pusat (CERF) bagi memperluas operasi kemanusiaan kecemasan di Jamaica. Dana itu akan digunakan untuk menyalurkan makanan, tempat perlindungan, air bersih dan bantuan perubatan kepada komuniti terjejas.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Sabtu memaklumkan bahawa lebih 700,000 kanak-kanak di seluruh Caribbean terjejas akibat taufan berkenaan, yang turut melanda Cuba dan menyebabkan kemusnahan di barat Haiti.
UNICEF kini bekerjasama dengan kerajaan Jamaica untuk membantu lebih 284,000 kanak-kanak dengan memberi tumpuan kepada keperluan pemakanan segera, akses kepada air bersih, sanitasi dan kebersihan, termasuk sokongan kesihatan mental.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


