GAZA: Dua pegawai kanan Hamas mengesahkan bahawa satu perjanjian telah dicapai bagi menamatkan konflik dengan Israel, sehari selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memaklumkan bahawa kumpulan itu bersedia untuk melucutkan senjata.
Menurut laporan AFP yang memetik kedua-dua pegawai berkenaan, perjanjian itu merangkumi isu senjata Hamas serta pengunduran secara berperingkat tentera Israel dari Semenanjung Gaza.
“Perjanjian telah dicapai berhubung isu senjata. Selain itu, persetujuan juga dicapai mengenai pengunduran berperingkat (tentera Israel) dari wilayah itu,” kata seorang pegawai Hamas yang enggan dikenali.
Pegawai itu berkata Hamas kini mengharapkan perantara dan Board of Peace memastikan Israel mematuhi syarat yang dipersetujui dalam perjanjian berkenaan.
Terdahulu, Trump mengumumkan bahawa satu persetujuan “bersejarah” telah dicapai bagi pelucutan senjata sepenuhnya Hamas dan semua kumpulan bersenjata lain di Gaza.
Beliau berkata proses itu akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai sebahagian daripada pelan keamanan yang lebih luas untuk Gaza.
Menurut Trump, tentera Israel akan berundur dari Gaza sebaik sahaja proses pelucutan senjata selesai, manakala Pasukan Penstabilan Antarabangsa akan bekerjasama dengan pasukan polis Palestin yang baharu bagi memastikan keselamatan wilayah itu.
Beliau turut menyifatkan perjanjian tersebut sebagai langkah penting ke arah pembentukan sebuah kerajaan Palestin baharu untuk mentadbir Gaza dan membantu rakyat Palestin.
Walaupun butiran penuh perjanjian belum didedahkan, perkembangan terbaharu itu dilihat sebagai kemajuan penting dalam usaha menamatkan peperangan yang telah menyebabkan kemusnahan besar di Gaza dan mencetuskan ketegangan di seluruh rantau Asia Barat.
Sementara itu, laporan media Mesir menyatakan satu mesyuarat melibatkan pihak perantara dijangka diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan pelaksanaan fasa seterusnya gencatan senjata di Gaza.