Skip to main content

Dunia

Pegawai Kanan AS teliti cadangan Iran tamatkan perang, buka Selat Hormuz

Ships and tankers in the Strait of Hormuz off the coast of Musandam, Oman, April 18, 2026. REUTERS
Tehran bersetuju membuka semula Selat Hormuz sekiranya AS menamatkan sekatan laut ke atas Iran dan konflik ketenteraan dihentikan. - Foto fail/REUTERS

WASHINGTON: Pegawai kanan keselamatan dan dasar luar Amerika Syarikat (AS) sedang meneliti satu cadangan baharu daripada Iran yang menawarkan penamatan perang dan pembukaan semula Selat Hormuz, laluan maritim strategik yang mengendali kira-kira satu perlima perdagangan minyak dan gas dunia, menurut sumber rasmi ka­jaan AS.

White House mengesahkan Presiden Donald Trump telah mengadakan perbincangan dengan pasukan keselamatan negaranya bagi menilai cadangan tersebut, yang disampaikan kepada Washington melalui Pakistan.

Advertisement

Di bawah cadangan itu, Tehran bersetuju membuka semula Selat Hormuz sekiranya AS menamatkan sekatan laut ke atas Iran dan konflik ketenteraan dihentikan, manakala rundingan mengenai program nuklear Iran akan ditangguhkan ke fasa kemudian.

Jurucakap White House, Karoline Leavitt, berkata cadangan berkenaan sedang dibincangkan tetapi menegaskan bahawa ia tidak bermakna Washington telah bersetuju atau hampir menerima tawaran tersebut.

“Presiden telah bertemu dengan pasukan keselamatan negaranya dan cadangan itu sedang dibincangkan.

"Namun, pendirian dan garis merah Presiden terhadap Iran kekal jelas,” katanya kepada wartawan.

Menurut laporan media antarabangsa, cadangan Iran itu menumpukan kepada usaha meredakan ketegangan dengan segera melalui pembukaan semula Selat Hormuz bagi menstabilkan pasaran tenaga global, yang terjejas teruk sejak konflik tercetus pada akhir Februari lalu.

Harga minyak dunia melonjak susulan penutupan laluan strategik tersebut dan sekatan AS ke atas eksport minyak Iran.

Bagaimanapun, Setiausaha Negara AS Marco Rubio dilaporkan bersikap berhati-hati terhadap cadangan itu, dengan menyatakan bahawa pembukaan Selat Hormuz tidak boleh disertai syarat yang menggugat kebebasan pelayaran antarabangsa atau memberi Iran kawalan ke atas laluan tersebut.

Sementara itu, Iran dilaporkan sedang giat mendapatkan sokongan diplomatik, termasuk melalui lawatan Menteri Luar Abbas Araghchi ke Rusia, di tengah usaha mencari jalan keluar daripada kebuntuan konflik dan tekanan ekonomi yang semakin meningkat akibat sekatan AS.

Walaupun gencatan senjata sementara dilaporkan masih berkuat kuasa, penganalisis melihat cadangan Iran ini sebagai percubaan untuk meredakan tekanan antarabangsa dan mengurangkan kesan ekonomi global, namun penerimaannya oleh Washington bergantung kepada jaminan keselamatan jangka panjang, khususnya berkaitan program nuklear Tehran. 
 

Must Watch Video