Skip to main content

Dunia

Pegawai tentera Thailand mengamuk dalam penerbangan dari Malaysia ke Bangkok

Dua kru kabin lelaki menahan seorang lelaki yang kemudiannya disahkan sebagai seorang leftenan dalam Tentera Diraja Thailand dan mempunyai masalah kesihatan mental. – Foto: Tangkap layar halaman Social Hunter 2022. -- SINAR HARIAN
Suspek ditenangkan oleh dua kru kabin. - Gambar tangkap layar/ Social Hunter 2022.
Advertisement

PENUMPANG sebuah pesawat yang dalam penerbangan dari Malaysia ke Bangkok berdepan situasi mencemaskan apabila seorang lelaki warga Thailand bertindak agresif dan dipercayai cuba membuka pintu pesawat.

Menurut laporan Bangkok Post, lelaki berkenaan dikenal pasti sebagai seorang pegawai Tentera Diraja Thailand berpangkat leftenan yang sedang menjalani rawatan berkaitan masalah kesihatan mental.

Kejadian itu mendapat perhatian ramai selepas rakaman video yang direkodkan oleh seorang penumpang dan dimuat naik ke media sosial menjadi tular pada Ahad.

Bagaimanapun, identiti syarikat penerbangan serta nombor penerbangan yang terlibat tidak didedahkan kepada umum.

Menerusi rakaman tersebut, lelaki yang memakai baju putih dilihat berjalan berulang-alik di lorong pesawat sambil menjerit perkataan "landing" beberapa kali.

Dia juga dilaporkan mengucapkan beberapa frasa dalam bahasa Thai yang sukar difahami oleh penumpang lain.

Dalam insiden itu, lelaki terbabit dikatakan cuba membuka pintu pesawat sebelum tindakan pantas kru kabin berjaya menghalangnya.

Dua kru kabin lelaki kemudiannya menahan dan mengawal suspek selepas berlaku sedikit pergelutan, sebelum membawanya ke tempat duduk dan memastikan keadaan kekal terkawal.

Walaupun berjaya ditenangkan, lelaki itu masih menjerit dan mengeluarkan kata-kata kesat dari semasa ke semasa.

Kementerian Pertahanan Thailand pada Isnin mengesahkan individu berkenaan merupakan kakitangan di Pejabat Dasar dan Perancangan kementerian itu.

Menurut kementerian, pegawai terbabit sedang menerima rawatan untuk masalah kesihatan mental dan mengalami episod berulang ketika berada dalam penerbangan tersebut.

Sebaik pesawat mendarat dengan selamat di Bangkok, lelaki berkenaan dibawa ke Hospital Phramongkutklao bagi mendapatkan rawatan lanjut. 

 

 

Must Watch Video

Advertisement