Skip to main content
Advertisement

Dunia

Pelajar, penjawat awam Perancis bantah pemotongan belanjawan menjelang pembentangan bajet

French police stand next to a burning tyre during a demonstration by French firefighters on strike calling for more resources and funding following a summer marked by mega-fires, in Paris as part of a day of strikes and protests by public sector workers in France, September 29, 2026. REUTERS/Tom Nicholson
Polis Perancis berkawal berhampiran tayar yang sedang terbakar ketika anggota bomba mengadakan mogok bagi menuntut penambahan sumber dan pembiayaan susulan musim panas yang menyaksikan kebakaran hutan besar di Perancis. - Foto REUTERS
Advertisement

PARIS: Ribuan pelajar sekolah menengah dan pekerja sektor awam di Perancis mengadakan protes serta mogok pada Selasa bagi membantah cadangan pemotongan perbelanjaan kerajaan menjelang pembentangan draf Belanjawan 2027, ketika tekanan politik semakin memuncak menjelang pilihan raya presiden tahun depan.

Menurut laporan Reuters, bantahan pelajar yang bermula sejak minggu lalu semakin meluas apabila mereka mengecam keadaan bilik darjah yang sesak serta kekurangan guru di sekolah-sekolah seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Perancis memaklumkan lebih 330 sekolah menengah terjejas akibat sekatan yang dilakukan pelajar, bersamaan hampir satu daripada setiap 10 sekolah menengah di negara itu.

Di Lille, beberapa tong sampah dilaporkan dibakar di luar kawasan sekolah, manakala polis antirusuhan dikerahkan untuk memantau tunjuk perasaan di Saint-Denis, pinggir bandar Paris.

Media tempatan turut melaporkan kira-kira 440 penunjuk perasaan ditahan.

Di beberapa sekolah di Paris, pelajar mempamerkan sepanduk yang mengkritik kerajaan Presiden Emmanuel Macron.

Antaranya termasuk plakad bertulis "Macron explosion" di luar Sekolah Arago serta sepanduk "Kurangkan polis, tambah pembiayaan" di hadapan Sekolah Helene-Boucher.

Seorang pelajar tahun akhir, Mael Breton, berkata mereka membantah apa yang disifatkan sebagai tindakan keras polis terhadap gerakan pelajar serta kekurangan pembiayaan dalam sistem pendidikan negara.

"Kami mahu kurang kehadiran polis kerana kami melihat berlakunya penindasan terhadap gerakan pelajar dan pergerakan sosial secara umum. Pada masa sama, sekolah dan sistem pendidikan kebangsaan berdepan kekurangan dana yang serius," katanya.

Perdana Menteri Perancis, Sébastien Lecornu, sebelum ini mengecam tindakan protes di sekolah sebagai tidak bertanggungjawab, namun mengakui masalah yang dihadapi sekolah menengah perlu diberi perhatian dan ditangani.

Dalam perkembangan berkaitan, kesatuan sekerja utama Perancis turut mengadakan mogok besar-besaran melibatkan guru, kakitangan hospital dan penjawat awam sebagai bantahan terhadap rancangan penjimatan kerajaan.

Ketua Kesatuan CGT, Sophie Binet, memberi tempoh 48 jam kepada kerajaan untuk menarik balik cadangan pemotongan perbelanjaan sebelum mempertimbangkan tindakan mogok selanjutnya.

Kerajaan bercadang membekukan gaji asas penjawat awam pada 2027 sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan bernilai €2 bilion (RM9.26 bilion).

Kesatuan sekerja mendakwa langkah itu merupakan pembekuan gaji tahun keempat berturut-turut dan kali kelapan sepanjang pentadbiran Macron.

Kerajaan Perancis sebelum ini mengumumkan rancangan penjimatan keseluruhan sebanyak €54 bilion dalam usaha mengawal defisit fiskal yang semakin meningkat susulan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan daripada jangkaan.

Selain guru dan penjawat awam, anggota bomba profesional turut menyertai demonstrasi, dengan alasan kekurangan sumber yang semakin ketara terutama ketika negara berdepan kebakaran hutan besar pada musim panas lalu.

Bagaimanapun, kadar penyertaan mogok dilihat sederhana apabila Kementerian Pendidikan melaporkan hanya sedikit melebihi 11 peratus guru dan kakitangan sekolah mengambil bahagian, manakala kurang daripada 10 peratus penjawat awam lain turut serta.

Pihak berkuasa penerbangan awam Perancis turut memberi amaran mengenai kemungkinan gangguan operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang akibat tindakan mogok berkenaan.

Bantahan itu berlaku ketika populariti Macron dan kerajaan pimpinannya terus merosot menjelang pilihan raya presiden yang dijadualkan berlangsung dalam tempoh tujuh bulan akan datang.

 

 

Must Watch Video

Advertisement