MULAI 1 Ogos, semua pelajar sekolah di Berlin dibenarkan untuk guna pengangkutan awam yang tersedia secara percuma sebagai inisiatif ibu kota Jerman tersebut untuk mengurangkan beban sara hidup yang dihadapi penduduk Jerman.

Menurut portal berita Jerman The Local.de, tiket yang diberi nama Schülerticket itu membenarkan kanak-kanak di atas umur 6 tahun untuk menaiki mana-mana U-Bahn, S-Bahn, tram atau bas, secara percuma selagi ia disertakan kad sekolah mereka.

Kemudahan ini bukan sahaja dihadkan kepada kanak-kanak yang menetap di Berlin, tetapi mereka yang bersekolah di serata Jerman.

Sementara itu, terdapat beberapa bandar di sekitar Jerman yang telah pun memulakan usaha untuk menyediakan pengangkutan awam secara percuma atau mengurangkan kos bagi mengelak kesesakan trafik serta membantu dalam usaha pemeliharaan alam sekitar.

Kerajaan Jerman menjangkakan bahawa usaha pengurangan kos tersebut akan memerlukan dana sebanyak €128 juta (RM588.83 juta) bagi menampung operasi perkhidmatan-perkhidmatan tersebut.

Negara yang terletak di Eropah Barat itu merupakan hab pengangkutan terpenting dalam benua tersebut, dengan lebuhraya terkenal Autobahn yang tidak mempunyai had laju.

Manakala di Luxembourg pula, kerajaannya telah mengumumkan bahawa ia sedang berusaha membuatkan semua jenis perkhidmatan pengangkutan awam percuma menjelang Mac 2020.