NEW YORK: Polis New York menahan kira-kira 100 penunjuk perasaan, termasuk beberapa selebriti dan ahli politik yang menyertai demonstrasi membantah kehadiran Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menjelang ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA), pada Khamis.
Antara yang ditahan ialah pemenang Anugerah Oscar, Susan Sarandon, pemenang Emmy, Hannah Einbinder, calon Demokrat bagi Kongres AS, Darializa Avila Chevalier dan anggota Majlis Bandaraya New York, Chi Ossé.
Perhimpunan yang dianjurkan kumpulan advokasi Jewish Voice for Peace itu disertai sekitar 200 peserta yang memakai kemeja-T putih dengan slogan seperti “Dana untuk rakyat, bukan bom”, “Tiada perang” dan “Bebaskan Palestin.”
Menurut saksi, para penunjuk perasaan menghalang lalu lintas di sekitar ibu pejabat PBB sebelum polis mengarahkan mereka bersurai melalui pembesar suara.
Sebahagian peserta kemudian beralih ke kaki lima, namun, sejumlah penunjuk perasaan yang terus duduk di atas jalan sambil melaungkan slogan “Netanyahu, pergi ke neraka” dikepung anggota polis sebelum dibawa menaiki bas tahanan.
Seorang peserta demonstrasi, Manijeh Moradian, 50, yang juga profesor universiti berketurunan Iran dan Yahudi berkata, masyarakat antarabangsa tidak boleh berdiam diri terhadap apa yang berlaku di Gaza.
“Apa yang berlaku di Gaza, pemusnahan sebuah masyarakat secara menyeluruh, dilakukan atas nama kita dan menggunakan wang cukai kita. Menjadi tanggungjawab kita untuk bersuara menentangnya.
“Netanyahu tidak berhak menggunakan platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mempertahankan kekejaman ini,” katanya.
Di dalam dewan UNGA, Netanyahu mempertahankan tindakan Israel di Asia Barat ketika berdepan tekanan dan kritikan antarabangsa yang semakin meningkat menjelang pilihan raya akan datang di negara itu.
Ketika beliau berucap, puluhan perwakilan dilaporkan meninggalkan dewan sebagai tanda protes.
Dalam perkembangan berasingan, kumpulan pro-Palestin turut berhimpun di tangga Perpustakaan Awam New York di Manhattan dengan mengibarkan bendera Palestin serta membawa sepanduk bertulis “New York menolak Zionisme” dan “Palestin berhak memperoleh kebebasan.”
Wakil Neturei Karta International, Rabbi Yitzchok Deutsch mendakwa, Netanyahu menggunakan agama dan identiti Yahudi untuk menghalalkan tindakan yang disifatkannya sebagai jenayah.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani atas apa yang disifatkannya sebagai keberanian untuk mengambil tindakan terhadap Netanyahu.
Sementara itu, seorang lagi penunjuk perasaan, Melissa Zuniga mempersoalkan mengapa Netanyahu masih dibenarkan berucap di PBB sedangkan beliau didakwa berdepan waran tangkap antarabangsa.
Pertubuhan hak asasi manusia sebelum ini menggesa komuniti antarabangsa mengambil pendirian lebih tegas terhadap situasi di Gaza, sambil mengkritik platform antarabangsa yang masih diberikan kepada pemimpin Israel itu. - Agensi