Ringkasan AI
- Malaysia kekal berpegang kepada Dasar Satu China sejak 1974 dan tidak akan mengorbankan prinsip dasar luar demi kepentingan perdagangan.
- Setakat September, eksport Malaysia ke Taiwan meningkat 88 peratus, dengan tiada petanda pelabur Taiwan berundur atau menyekat pelaburan baharu.
- Malaysia menyokong penyelesaian aman isu Taiwan dan mengekalkan hubungan ekonomi melalui jawatankuasa kerja, tanpa hubungan diplomatik rasmi.
KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus berpegang kepada Dasar Satu China yang menjadi pendirian rasmi negara sejak 1974, meskipun pendirian itu mungkin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan pihak tertentu di Taiwan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat tidak akan mengorbankan prinsip dasar luarnya demi kepentingan perdagangan, namun akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan hubungan ekonomi dan pelaburan dengan Taiwan terus terpelihara.
Mengambil contoh pendirian Malaysia berhubung isu Palestin dan Gaza, beliau berkata ketegasan negara dalam mengkritik tindakan Israel turut tidak disenangi beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, katanya perkara itu tidak menghalang Malaysia daripada terus menjalinkan hubungan perdagangan dan menerima pelaburan dari AS, yang merupakan antara rakan dagang dan sumber pelaburan utama negara.
“Begitu juga dengan beberapa dasar lain, umpamanya Myanmar. Walaupun hubungan kita mula baik untuk membolehkan pelarian itu dibawa pulang, tetapi pendirian kita tentang apa-apa yang dilakukan ke atas masyarakat, termasuk di Rakhine, itu tidak berubah.“Begitu juga sekarang dalam soal Dasar Satu China. Kita jaga hubungan supaya jangan terjejas pelaburan dan saya jawab tadi, belum ada petanda-petanda terjejasnya (pelaburan). Adalah kenyataan-kenyataan politik biasa, sebab itu kita memilih untuk tidak menjawab,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) dan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) mengenai kesan penegasan pendirian Malaysia berhubung Taiwan terhadap hubungan perdagangan, pelaburan serta keyakinan pelabur asing pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata setakat September tahun ini, eksport Malaysia ke Taiwan mencatat peningkatan sebanyak 88 peratus, antara kadar kenaikan tertinggi dalam tempoh setahun, didorong tumpuan negara terhadap sektor elektrik dan elektronik (E&E), semikonduktor serta teknologi berkaitan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, beliau berkata laporan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga tidak menunjukkan sebarang petanda pelabur Taiwan berundur atau menyekat pelaburan baharu di Malaysia susulan kenyataan beliau mengenai Taiwan.
“Jadi setakat ini, kita akan ambil apa saja langkah yang perlu untuk menentukan hubungan dagang dan pelaburan dengan Taiwan itu kekal baik tanpa mengorbankan prinsip kita tentang kebebasan dan kemerdekaan negara, pendirian yang telah kita tegaskan sejak 1974,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Datuk Hamzah Zainudin (PN-Larut) mengenai pendekatan baharu bagi meredakan ketegangan dengan Taiwan susulan kenyataan beliau berhubung isu ketenteraan yang dibimbangi membawa kesan kepada pasaran saham dan pelaburan, Perdana Menteri menegaskan Malaysia tidak pernah menyatakan sokongan terhadap sebarang tindakan ketenteraan China ke atas Taiwan.
Sebaliknya, beliau berkata pendirian Malaysia adalah menyokong Dasar Satu China serta penyelesaian secara aman melalui usaha damai.
“Bukan saya kata saya setuju patut China menyerang Taiwan. Saya kata, kita menyokong Dasar Satu China. Yang kedua, kita kata, kita percaya bahawa penyelesaian secara baik perlu dicapai melalui usaha damai,” katanya.
Anwar turut menjelaskan bahawa hubungan Malaysia dengan Taiwan diteruskan melalui jawatankuasa kerja bagi menyelaraskan isu perdagangan, pelaburan dan ekonomi, bukannya rundingan antara dua negara.
Beliau berkata penggunaan istilah itu penting kerana Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Taiwan, dan mekanisme jawatankuasa berkenaan pula telah dilaksanakan sejak 1974.
-- BERNAMA