Aktres Jepun, Sei Ashina yang pernah membintangi siri adi wira ‘Kamen Rider Hibiki’ ditemui meninggal dunia di kediamannya, di Tokyo, Isnin lalu.

Ashina yang membawa watak Hime dalam drama siri tersebut meninggal dunia pada umur 36 tahun, lapor Canoe.com.

Menurut laporan tersebut, pelakon itu ditemukan abangnya di apartmen miliknya di Tokyo.

Polis kemudiannya mengesahkan kematian pelakon wanita itu dipercayai disebabkan tindakan bunuh diri.

Ashina tidak meninggalkan sebarang nota namun laporan mendedahkan mendiang tidak menjawab panggilan telefon dan mesej sejak Ahad.

Mula berlakon pada 2002 dalam rancangan televisyen The Tail Of Happiness, Ashina terus mengukir namanya dalam industri selepas berlakon dalam filem Silk pada 2007.

Mendiang turut membintangi beberapa filem lain termasuk Nanase: The Psychic Wanderers, The Emperor’s Cook dan Daisy Luck.

Kematian Ashina mencetuskan kebimbangan dalam kalangan peminat selepas beberapa selebriti turut mengambil tindakan sama sebelum ini termasuklah Haruma Miura dan Hana Kimura.


Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.

Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi kepada para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada [email protected] untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma.