AL-BAB, SYRIA: Pelarian Syria berharap kesihatan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) bertambah baik.

Ketika ditemui Astro AWANI di Al-Bab, Syria, rata-rata mereka mendoakan kesejahteraan pemimpin yang disegani dalam dunia Islam itu.

Menurut salah seorang pelarian, Bayan sabbagh, 24, Dr Mahathir terkenal dalam kalangan rakyat Syria kerana kelantangannya memperjuangkan isu-isu umat Islam di seluruh dunia.

"(Dr) Mahathir seorang pemimpin Islam yang disukai rakyat Syria kerana turut sama menyuarakan keprihatinan mengenai situasi peperangan di Syria.

"Saya berharap (Dr) Mahathir diberikan kesembuhan oleh Allah SWT secepat mungkin," katanya.

BACA: 'Kami sekeluarga telah berinteraksi dengan Tun M, jangan endah khabar angin' - Marina


Pada Sabtu, media melaporkan keadaan Dr Mahathir yang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) kini stabil.

Anaknya, Datin Paduka Marina, hari ini berkata, mereka sekeluarga telah berinteraksi dengan beliau, justeru berharap orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih mengenai keadaan Dr Mahathir.

Sementara itu, seorang lagi pelarian, Muhammed Nur Demlahi, 22, menggambarkan Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 itu sebagai seorang yang berjaya membawa nama Malaysia terkenal di dunia.

"Ramai rakyat Syria sebenarnya mengagumi (Dr) Mahathir dan mahukan beliau sebagai pemimpin. Doa saya agar beliau sihat seperti sedia kala," ujarnya.

Bagi Mahmud, 30, yang juga seorang pelarian, Dr Mahathir begitu dekat dengan hati rakyat Syria kerana turut sama memperjuangkan keperluan kemanusiaan untuk pelarian di negara ini.

"Sudah pasti saya mendoakan agar beliau (Dr Mahathir) kekal kuat untuk kesihatannya dan terus menjadi suara kepada negara Islam dan kemanusiaan," jelasnya.

Untuk rekod, Tun Mahathir pernah menyatakan Malaysia menyuarakan pendapat mengenai serangan bom di Syria sebagai kekejaman yang perlu dihentikan.

Jelasnya lagi, rakyat Malaysia yang berkemampuan perlu sedar mengenai situasi di negara yang menghadapi peperangan seperti Syria dan melakukan apa yang terdaya untuk membantu.

Wartawan Astro AWANI kini sedang mengikuti misi kemanusiaan musim sejuk bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia For Syria bagi membantu pelarian Syria yang tinggal di khemah-khemah pelarian sekitar Al-Bab, Azaz dan Afrin.