SEOUL: Pemangku Ketua Peguam Negara Korea Selatan Koo Ja-hyeon menawarkan diri untuk meletakkan jawatan pada Jumaat, tidak lama selepas Perhimpunan Kebangsaan yang dipimpin Parti Demokratik (DP) pemerintah meluluskan rang undang-undang (RUU) bertujuan memansuhkan kuasa siasatan secara langsung pihak pendakwaan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Koo memberitahu wartawan pada Jumaat malam bahawa beliau telah mengemukakan surat peletakan jawatan untuk "bertanggungjawab" atas kelulusan RUU yang mencetuskan kontroversi itu.
Pindaan kepada Akta Prosedur Jenayah itu diluluskan dalam sidang pleno menerusi undian 175-2 dengan satu undi berkecuali, selepas Perhimpunan Kebangsaan mengundi menyokong usul menamatkan filibuster yang dilancarkan parti pembangkang utama, Parti Kuasa Rakyat (PPP) sehari sebelumnya.
Di bawah RUU berkenaan, pihak pendakwaan akan dilucutkan kuasanya untuk menjalankan siasatan secara langsung, termasuk siasatan tambahan. Sebaliknya, pendakwa raya hanya dibenarkan meminta pegawai polis kehakiman untuk menjalankan siasatan tambahan.
Sambil menegaskan keperluan untuk pihak pendakwaan muhasabah diri atas kegagalan meraih kepercayaan awam, beliau berkata reformasi tidak sepatutnya menjejaskan tujuan teras sistem pendakwaan yang berhasrat membongkar kebenaran hakiki dan melindungi mangsa.
Koo sekali lagi menyuarakan kebimbangannya mengenai pindaan itu sambil menggariskan ia akan menyebabkan pendakwa raya bergantung sepenuhnya kepada rekod siasatan semata-mata untuk menentukan sama ada untuk mendakwa dan akan menyukarkan bagi melindungi mangsa.
"Pindaan ini diluluskan tanpa mengambil kira pertimbangan sedemikian, dan saya tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa serta putus asa saya.
Walaupun RUU ini dihantar kepada kerajaan, saya dengan ikhlas menggesa agar semakan dilakukan bagi memastikan ia tidak mewujudkan jurang dasar atau mengabaikan perlindungan kepada orang ramai, " kata Koo.
-- BERNAMA-YONHAP