INTERNATIONAL
Pembantu setia Duterte mendominasi pilihan raya senat Filipina

Senator Christopher Go, yang dipilih semula dan merupakan pembantu rapat Duterte, mendahului senarai undian. - Foto Facebook/Bong Go
MANILA: Suruhanjaya Pilihan Raya Filipina (Comelec) secara rasmi mengumumkan pada Sabtu 12 pemenang pilihan raya senat, termasuk dua penyokong setia bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte, dalam pilihan raya separuh penggal yang diadakan pada Isnin, lapor Xinhua.
Senator Christopher Go, yang dipilih semula dan merupakan pembantu rapat Duterte, mendahului senarai undian.
Seorang lagi sekutu Duterte, Senator Ronald Dela Rosa, berada di tempat ketiga. Pemenang lain yang disokong Duterte termasuk Senator Imee Marcos, Wakil Rakyat Rodante Marcoleta, dan Camille Villar.
Villar, calon "undangan" dalam senarai Duterte yang turut mendapat sokongan Presiden Ferdinand Marcos Jr., turut tersenarai dalam keputusan.Turut berada dalam kalangan 12 teratas ialah calon yang disokong Marcos, termasuk Erwin Tulfo, Pia Cayetano, Lito Lapid, serta bekas senator Panfilo Lacson dan Vicente Sotto.
Dua calon yang tidak dikaitkan dengan Marcos dan Duterte, iaitu bekas Senator Paolo Benigno Aquino dan bekas Senator Francis Pangilinan, melengkapkan senarai 12 kerusi senat.
Wakil Rakyat Tobias Tiangco, pengurus kempen blok Marcos, mengakui kekalahan di Mindanao, kubu kuat Duterte. Beliau menyifatkan prestasi buruk itu berpunca daripada tindak balas terhadap pendakwaan ke atas Naib Presiden Sara Duterte pada Februari.
Dalam catatan Facebook pada 13 Mei, bekas jurucakap presiden dan ketua penasihat presiden Duterte, Salvador Panelo, menyifatkan keputusan itu sebagai "penolakan besar-besaran" terhadap pentadbiran Marcos, sambil menegaskan bahawa undian itu mencerminkan sokongan rakyat kepada keluarga Duterte dan penolakan terhadap "politik dendam."
Pilihan raya separuh penggal pada Isnin itu melibatkan lebih 18,000 jawatan termasuk 12 kerusi senator, ahli Dewan Perwakilan, serta pegawai peringkat wilayah dan bandar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami