MANILA: Pemandu di seluruh Filipina menyerbu stesen minyak pada Isnin, bergegas untuk mengisi minyak menjelang kenaikan harga besar-besaran yang dijadualkan pada Selasa, lapor Xinhua.
Lonjakan permintaan itu menyusul amaran mengenai peningkatan ketara kos bahan api, yang disifatkan oleh pegawai tenaga tempatan sebagai lonjakan tunggal terbesar dalam tempoh kebelakangan ini.
Advertisement
Ketidaktentuan domestik sebahagian besarnya didorong oleh faktor luaran, memandangkan ketegangan yang memuncak di Asia Barat terus mencetuskan kebimbangan terhadap krisis tenaga global, lapor saluran berita tempatan.
Di Metro Manila, kebimbangan ini dizahirkan melalui barisan panjang yang memenatkan di beberapa buah stesen ketika pemandu berpusu-pusu untuk mengisi minyak sebelum pelaksanaan harga baharu.
Keadaan lebih meruncing di bandar utara Dagupan dan bandar tengah Iloilo, yang media tempatan melaporkan beberapa stesen terpaksa ditutup seketika selepas kehabisan stok akibat pembelian panik yang melampau.
Harga minyak dijangka meningkat kira-kira 17 hingga 24 peso (lebih kurang US$0.29 hingga US$0.40) seliter minggu ini, menurut Setiausaha Tenaga Sharon Garin pada Isnin.
Syarikat minyak akan membahagikan kenaikan tersebut dalam tempoh beberapa hari, atau melaksanakan kenaikan secara berperingkat, berbanding mengenakan satu kenaikan harga yang besar sekali gus, kata Garin.
-- BERNAMA-XINHUA