WASHINGTON: Calon presiden Demokrat Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris berikrar untuk berjuang habis-habisan pada fasa akhir kempen, menggesa partinya untuk bersiap sedia menghadapi "perlumbaan sengit" menentang Donald Trump daripada Republikan ketika beliau berucap kepada penyokong pada perhimpunan di Milwaukee, Wisconsin.

"Kita tahu ini akan menjadi perlumbaan yang sengit sehingga ke penghujungnya. Kita perlu bekerja keras dan kita suka cabaran ini. Kerja keras adalah amalan yang baik," kata Harris pada petang Selasa, menurut laporan Agensi Berita Jerman (dpa).

"Tidak, tidak, kita belum menang," kata wanita berusia 59 tahun itu, menjawab jeritan daripada penonton. "Kita masih ada 77 hari kerja yang perlu dilakukan," katanya.

Walaupun Harris sedikit mendahului pencabarnya daripada Republikan dalam tinjauan nasional, kelebihannya sering kali berada dalam margin ralat.

Harris secara rasmi disahkan sebagai calon presiden Demokrat untuk pilihan raya November pada konvensyen kebangsaan parti itu di Chicago pada Selasa.

Tidak lama kemudian, Harris muncul di hadapan penyokong di Milwaukee. Acara itu diadakan di dewan yang sama ketika Republikan mengadakan konvensyen mereka kira-kira sebulan yang lepas.

Harris memberi jaminan kepada penyokongnya bahawa mereka akan memenangi pilihan raya presiden pada 5 Nov, tetapi menekankan keperluan untuk bekerja keras demi memastikan kemenangan.

Harris memberi amaran: "Ini bukan hanya kita menentang Donald Trump. Ini adalah tentang dua visi yang sangat berbeza untuk negara kita."

Di penghujung ucapannya, Harris menyeru: "Mari kita jelaskan: Seseorang yang bercadang untuk membatalkan Perlembagaan Amerika Syarikat tidak sepatutnya lagi mendapat peluang untuk berdiri di belakang lambang presiden Amerika Syarikat. Tidak lagi."

Trump telah meminta "pembatalan" Perlembagaan AS hampir dua tahun lepas, dengan mendakwa wujud penipuan dalam pilihan raya presiden 2020.

-- BERNAMA