Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan mengucapkan tahniah kepada Presiden Iran, Hassan Rohani atas pemeteraian perjanjian nuklear pada Selasa di Vienna.

Perjanjian itu adalah di antara Iran dan enam negara lain, menurut laporan Emirates News Agency (WAM).

Sheikh Khalifa berharap perjanjian itu akan menyumbang kepada keselamatan dan kestabilan serantau.

Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum serta Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera UAE iaitu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Iran.

Dilaporkan bahawa Iran dan enam negara yang diketuai oleh Amerika Syarikat mencapai satu perjanjian pada hari Selasa dengan menghadkan keupayaan nuklear Teheran selama lebih daripada satu dekad.

Persetujuan itu adalah sebagai pertukaran pemansuhan sekatan kewangan bagi sektor minyak antarabangsa.

Negara-begara lain yang terlibat dalam perjanjian itu adalah United Kingdom, Rusia, China, Jerman dan Perancis.