Seorang pencuri di utara India kembalikan ribuan dos vaksin COVID-19 yang dicurinya pada Khamis dari sebuah hospital.

Turut disertakan sepucuk nota yang menyatakan dia tidak mengetahui beg berkenaan mengandungi vaksin ketika mengambilnya.

"Minta maaf, saya tidak mengetahui beg berkenaan mengandungi vaksin bagi melindungi daripada virus COVID-19," tulis nota berkenaan memetik laporan portal berita NDTV.

Lebih 1,700 dos vaksin dicuri daripada hospital kerajaan berkenaan yang terletak di daerah Haryana Jind.

Beg berkenaan mengandungi 1,270 dos vaksin Covishield keluaran Universiti Oxford dan AstraZeneca dan 440 dos vaksin Covaxin keluaran syarikat farmaseutikal India, Bharat Biotech yang diambil daripada bilik stor hospital itu, kata Ketua Polis Rajender Singh kepada portal berita The Hindu.

"Suspek tidak menyentuh vaksin atau ubat lain dalam bilik stor berkenaan termasuk wang tunai yang disimpan di situ," kata Singh.

Siasatan telah dilancarkan bagi menjejaki suspek.

Menurut laporan NDTV, suspek memberikan beg berkenaan kepada pekerja cafe yang terletak berhampiran balai polis serta hospital terbabit.

Dia memberitahu pekerja berkenaan, beg berkenaan mengandungi makanan untuk anggota polis di balai itu.

Polis percaya suspek sangkakan beg berkenaan mengandungi suntikan Remdesivir yang banyak digunakan untuk merawat pesakit dijangkiti virus COVID-19.

"Suspek berkemungkinan ingin mencuri vaksin atau ubat lain dan apabila dia mendapati ia tidak mengandungi apa yang dia mahukan, dia telah memulangkannya.

"Kami telah mengenal pasti suspek dan akan membuat tangkapan tidak lama lagi," kata Singh.

Sebelum ini beberapa individu telah ditahan kerana menjual ubat Remdesivir di pasaran gelap, menurut NDTV.

Minggu lepas, polis membuka kertas siasatan selepas 860 bebuli ubat Remdesivir dicuri daripada sebuah hospital kerajaan di Bhopal.