DUNIA
Pendaki Brazil maut terjatuh ke dalam gaung di Gunung Rinjani, Indonesia

Disebabkan cuaca buruk dan lokasi yang sukar dicapai, usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa lebih lama daripada jangkaan. - AP
JAKARTA: Seorang pendaki wanita Brazil berusia 27 tahun maut selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 600 meter ketika mendaki Gunung Rinjani di Pulau Lombok, Indonesia, lapor media tempatan pada Rabu, menurut Xinhua.
Agensi Mencari dan Menyelamat (SAR) Indonesia pada Rabu memaklumkan bahawa mangsa, dengan inisial JDSP, terjatuh ke dalam gaung itu pada Sabtu lalu. Namun, disebabkan cuaca buruk dan lokasi yang sukar dicapai, usaha mengeluarkan mangsa mengambil masa lebih lama daripada jangkaan. Mangsa ditemukan sudah tidak bernyawa pada Selasa apabila pasukan penyelamat akhirnya berjaya tiba di lokasinya.
Ketua Pejabat SAR Mataram di Lombok, Muhamad Hariyadi berkata seorang anggota penyelamat berjaya sampai ke lokasi mangsa di dalam gaung pada Selasa sekitar 18:00 waktu tempatan.
Pemeriksaan awal menunjukkan beliau telah meninggal dunia, kata Hariyadi.Menurut agensi itu, mangsa mendaki Gunung Rinjani bersama enam rakannya dan seorang jurupandu tempatan. Mereka memilih laluan Sembalun dan memulakan pendakian awal pagi Sabtu. Sebaik tiba di kawasan rehat Cemara Nunggal, mangsa dilaporkan keletihan dan diminta pemandu supaya berehat.
Rakan-rakan yang lain meneruskan perjalanan ke puncak, meninggalkan mangsa berehat di kawasan itu. Apabila mendapati mangsa tidak menyusul kemudian, pemandu berkenaan kembali ke lokasi rehat terakhir tetapi mendapati mangsa tiada di situ. Kumpulan itu mengesyaki mangsa telah terjatuh lalu segera menghubungi pihak berkuasa untuk bantuan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami