SEOUL: Pihak pendakwa raya Korea Selatan melancarkan siasatan jenayah terhadap insiden runtuhan jejambat di Seoul kelmarin yang mengorbankan tiga pegawai pemeriksa struktur.
Pejabat Pendakwa Raya Daerah Pusat Seoul memaklumkan sebuah pasukan petugas khas telah ditubuh bagi menyiasat kemungkinan kecuaian pengurusan melibatkan pihak berkuasa bandar raya serta syarikat penyelenggaraan.
Siasatan itu akan memberi tumpuan kepada pelanggaran Akta Hukuman Kemalangan Serius, undang-undang yang memperuntukkan tindakan terhadap majikan atau pegawai kerajaan sekiranya didapati gagal memastikan keselamatan sehingga menyebabkan kematian.
Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang Isnin, struktur konkrit jejambat yang dibina sejak 1970-an runtuh sepenuhnya ketika pasukan jurutera sedang menjalankan pemeriksaan keselamatan di bawahnya.
Runtuhan itu menghempap kenderaan pasukan terbabit, menyebabkan tiga pekerja maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Dua lagi mangsa yang cedera parah kini masih menerima rawatan di Hospital Universiti Nasional Seoul.
Datuk Bandar Seoul, Oh Se-hoon, sebelum ini memohon maaf secara terbuka dan memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dalam siasatan tersebut.