PRESIDEN Perancis Emmanuel Macron memberi jaminan kepada mangsa penderaan seksual di negara itu bahawa mereka dipercayai dan tidak berseorangan dalam menempuh detik sukar.

Kenyataan tersebut menyusul ketika beberapa kes dicatatkan di negara itu berhubung serangan seksual terhadap kanak-kanak oleh ahli keluarga sendiri.

Beliau memberi jaminan itu selepas kerajaannya berikrar untuk memperketatkan undang-undang rogol terhadap kanak-kanak.

Ia juga menyusul selepas pendedahan di media sosial sejak minggu lalu apabila mangsa seksual berkongsi pengalaman pahit mereka.

Pada masa sama, Macron berjanji akan menguatkuasakan pemeriksaan saringan penderaan dan pencegahan terhadap setiap kanak-kanak di sekolah rendah dan sekolah menengah.

Malah, sistem kesihatan negara itu akan menanggung kos rawatan dari segi psikologi buat mangsa penderaan.