Skip to main content

Dunia

Penerbit Jerman mahu komitmen mengikat daripada Meta berhubung kandungan berita

Persatuan penerbit kini mahukan komitmen yang mengikat di sisi undang-undang bahawa Meta tidak akan melaksanakan perubahan.
Persatuan penerbit kini mahukan komitmen yang mengikat di sisi undang-undang bahawa Meta tidak akan melaksanakan perubahan.
Advertisement

BERLIN: Dua persatuan penerbit Jerman secara rasmi menuntut Meta membatalkan perubahan yang dirancang terhadap terma penggunaannya yang menurut mereka akan memberikan akses meluas terhadap kandungan kewartawanan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Persatuan Penerbit Digital dan Akhbar Persekutuan (BDZV) serta Persatuan Media Akhbar Bebas (MVFP) mengumumkan pada Isnin bahawa mereka meminta syarikat Amerika Syarikat (AS) itu menandatangani satu akuan untuk menghentikan dan tidak mengulangi tindakan berkenaan.

Tuntutan dibuat susulan perubahan kontroversi terhadap terma penggunaan yang pada asalnya dirancang untuk diperkenalkan oleh Meta.

Advertisement

Susulan kritikan meluas, syarikat itu menggantung pelaksanaan perubahan berkenaan untuk tempoh yang tidak ditetapkan, namun belum menarik balik peruntukan sepenuhnya. Kedua-dua persatuan penerbit kini mahukan komitmen yang mengikat di sisi undang-undang bahawa Meta tidak akan melaksanakan perubahan itu.

Menurut kedua-dua persatuan, terma baharu bertujuan memberikan Meta hak untuk mengekstrak secara automatik kandungan yang diterbitkan oleh organisasi media, termasuk kandungan di luar platformnya sendiri dan menggunakannya bagi produk syarikat itu.

Advertisement

Langkah berkenaan akan memberi kesan kepada portal berita, arkib dan berpotensi turut melibatkan kandungan yang hanya boleh diakses melalui langganan berbayar.

"Meta mahu menggunakan capaian luas platformnya untuk mendapatkan akses percuma kepada hasil kerja kewartawanan syarikat lain," menurut kenyataan kedua-dua persatuan itu.

Mereka menyifatkan tindakan berkenaan sebagai penyalahgunaan kuasa pasaran digital.

Kedua-dua persatuan turut menegaskan bahawa penerbit yang membantah penggunaan kandungan mereka tidak seharusnya menerima layanan yang merugikan di platform Meta, iaitu Facebook dan Instagram.

Persatuan berkenaan sebelum ini merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Eropah pada Oktober lalu.

Di bawah Akta Pasaran Digital Kesatuan Eropah (DMA), Meta diklasifikasikan sebagai "penjaga pintu", yang bermaksud perkhidmatannya menjadi antara saluran utama yang menghubungkan pengguna kepada perkhidmatan digital.

Menerusi DMA, syarikat AS itu perlu mematuhi kewajipan khusus bagi memastikan persaingan yang adil dalam pasaran digital.

Matlamat Kesatuan Eropah (EU) adalah untuk menghalang pengendali platform besar tertentu daripada menjadi terlalu berkuasa sehingga mampu mengukuhkan kedudukan mereka dalam pasaran. 

-- BERNAMA-dpa

Must Watch Video

Advertisement