MANILA: Timor-Leste bakal mengambil alih kepengerusian ASEAN pada 2029, selepas Singapura dan Thailand mengikut susunan giliran yang dipersetujui negara anggota.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata negara anggota perlu terus memberikan kerjasama dan bantuan bagi memastikan Timor-Leste bersedia memikul tanggungjawab mengendalikan kepengerusian blok serantau itu.
Katanya, Timor-Leste menyertai ASEAN tahun lalu dan keputusan menetapkan giliran kepengerusian negara itu pada 2029 turut dipersetujui dalam sidang berkenaan.
"Tahun depan Singapura, selepas itu Thailand dan sesudah itu, insya-Allah Timor-Leste pada 2029. Ini keputusan yang juga dibuat.
"Tentunya apabila Timor-Leste dipilih atau kita bersetuju dengan Timor-Leste mengambil alih pengurusan ASEAN, ia memerlukan kerjasama dan bantuan semua negara," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, di sini pada Isnin.
Anwar berkata, beberapa negara anggota termasuk Indonesia dan Singapura sudah memberikan bantuan kepada Timor-Leste bagi menyokong penyertaannya dalam ASEAN.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata cadangan Malaysia menerima Turkiye sebagai Rakan Dialog ASEAN turut dipersetujui dalam sidang berkenaan.
Selain itu, Cyprus, Slovakia dan Slovenia turut disebut dalam perbincangan berkaitan penglibatan negara berkenaan dalam kerangka kerjasama ASEAN.