KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menyifatkan keputusan kerajaan menaikkan insentif Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) bagi setiap ahli pasukan pemenang pingat emas, perak dan gangsa hadir pada waktu yang tepat.
Presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal berkata penambahbaikan itu penting khususnya dalam usaha mengekalkan motivasi, semangat juang dan daya saing pemain menjelang Sukan SEA 2027 serta kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Beliau berkata penambahbaikan dari segi ganjaran dan pengiktirafan bukan sahaja penting bagi mengekalkan khidmat pemain berpengalaman dalam skuad kebangsaan, malah menjadi pemangkin untuk menarik minat generasi muda menyertai sukan hoki.
“Hoki bukan sukan yang dibina atas kehebatan seorang pemain. Ia adalah sukan berpasukan dengan setiap seorang memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan pada satu-satu kejohanan. Tiada jaringan terhasil dan tiada kemenangan dicapai tanpa sumbangan setiap pemain.
“Inisiatif ini juga hadir pada waktu yang amat signifikan, khususnya dalam usaha mengekalkan motivasi, semangat juang dan daya saing pemain menjelang Sukan SEA 2027 serta kempen kelayakan ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan KHM hari ini.
Dalam pada itu, KHM menyifatkan langkah berkenaan sebagai tepat pada masanya dan adil kepada atlet acara berpasukan kerana penambahbaikan tersebut memberi kesan langsung kepada 20 pemain skuad hoki lelaki kebangsaan yang meraih pingat perak di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
Rabu lepas, Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari mengumumkan kadar ganjaran SHAKAM bagi pemenang pingat emas acara berpasukan Sukan Asia, Sukan Para Asia dan Sukan Komanwel dinaikkan sebanyak 166.67 peratus daripada RM15,000 kepada RM40,000 seorang.
Beliau berkata kenaikan itu turut melibatkan ganjaran pemenang pingat perak acara berpasukan daripada RM8,000 kepada RM20,000 seorang, manakala pingat gangsa meningkat daripada RM4,000 kepada RM10,000 seorang.
Katanya kadar baharu yang diluluskan Lembaga Majlis Sukan Negara (MSN) itu berkuat kuasa mulai tahun ini dan akan terus diguna pakai bagi temasya sukan akan datang.
-- BERNAMA