Skip to main content

Dunia

ASEAN: Rundingan CoC Laut China Selatan perlu dimuktamadkan segera, elak campur tangan kuasa lain

Anwar berkata Malaysia mahu isu berkenaan diselesaikan menerusi rundingan langsung antara ASEAN dan China, selaras dengan prinsip pemusatan ASEAN, tanpa menjadikan rantau ini gelanggang persaingan kuasa besar. - Gambar PMO
Anwar berkata Malaysia mahu isu berkenaan diselesaikan menerusi rundingan langsung antara ASEAN dan China, selaras dengan prinsip pemusatan ASEAN, tanpa menjadikan rantau ini gelanggang persaingan kuasa besar. - Gambar PMO
Advertisement

MANILA: Rundingan Kod Tatalaku (CoC) di Laut China Selatan kini berada pada tahap kritikal dan perlu dimuktamadkan segera bagi mengelakkan membuka ruang kepada campur tangan kuasa luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia mahu isu berkenaan diselesaikan menerusi rundingan langsung antara ASEAN dan China, selaras dengan prinsip pemusatan ASEAN, tanpa menjadikan rantau ini gelanggang persaingan kuasa besar.

Beliau menjelaskan, Malaysia turut menekankan kepentingan menjamin kebebasan laluan serta keselamatan semua bentuk pengangkutan dan perjalanan, termasuk melalui laut dan udara di Laut China Selatan.

Advertisement

Ujarnya, rundingan itu sememangnya sensitif kerana membabitkan tuntutan bertindih, namun parameter utama CoC perlu memastikan keamanan dan keselamatan di kawasan berkenaan.

"Kritikal kerana kita nampak perkara ini tertangguh begitu lama. Pada peringkat awal, kita berikan garis masa sehingga akhir tahun, tetapi saya juga akui sebenarnya sudah ada kemajuan dan komitmen dengan China yang jauh lebih positif.

Advertisement

"Saya hanya mahu menggesa dengan kuat supaya perkara ini tidak dilengah-lengahkan. Saya tidak mahu kuasa-kuasa lain campur dan menggunakan kelompongan ini untuk merasakan mereka berperanan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada  Sidang Kemuncak ASEAN ke-49, di sini, pada Isnin. 

Selain itu, Anwar menegaskan, China turut menyatakan komitmen untuk meneruskan rundingan berkenaan dan terdapat kemajuan jelas, meskipun beberapa perincian masih perlu diperhalusi. 

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, agenda ekonomi ASEAN juga perlu memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak tercicir daripada manfaat kerjasama serantau, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga dan perdagangan. 

Katanya lagi, tumpuan terhadap pelaburan berskala besar sahaja tidak mencukupi kerana PMKS turut menjadi kekuatan ekonomi negara anggota ASEAN. 

Beliau berkata, kepentingan PMKS itu turut diketengahkan dalam perbincangan bersama rakan dialog termasuk China, Korea Selatan dan Australia.

Must Watch Video

Advertisement