LONDON: Pengasas bersama kumpulan aktivis pro-Palestin, Palestine Action, Huda Ammori, diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan kerajaan United Kingdom (UK) yang mengklasifikasikan kumpulan itu sebagai organisasi pengganas di Mahkamah Agung negara itu.
Keputusan itu membuka laluan kepada satu lagi pertempuran undang-undang berprofil tinggi berhubung pengharaman kumpulan berkenaan, yang diharamkan di bawah undang-undang antikeganasan UK tahun lalu.
Mahkamah Agung memutuskan bahawa rayuan Ammori boleh diteruskan selepas Mahkamah Rayuan bulan lalu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum itu mengisytiharkan pengharaman Palestine Action sebagai tidak sah dan tidak seimbang dari segi undang-undang.
Menurut Mahkamah Agung, terdapat hujah yang boleh dipertimbangkan mengenai sama ada pengharaman tersebut merupakan campur tangan yang tidak seimbang terhadap hak kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun sebagaimana diperuntukkan di bawah Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.
Ammori menyambut baik keputusan itu dan menyifatkan pengharaman Palestine Action sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk membendung sokongan kepada rakyat Palestin.
Beliau turut mendakwa langkah berkenaan memberi kesan terhadap kebebasan bersuara dan hak untuk membantah di UK.
Kes itu dijangka didengar pada penghujung tahun ini, dengan keputusan berkenaan berpotensi mempengaruhi nasib ribuan individu yang ditahan kerana didakwa menyokong atau mempunyai kaitan dengan Palestine Action sejak kumpulan itu diharamkan.
Kerajaan UK sebelum ini mempertahankan pengharaman tersebut atas alasan keselamatan negara, dengan mahkamah rayuan memutuskan bahawa keputusan itu adalah sah dan berkadar susulan beberapa tindakan kumpulan berkenaan yang didakwa melibatkan kerosakan harta benda dan unsur keganasan.
Setakat ini, belum ada sebarang petunjuk bahawa status Palestine Action sebagai organisasi yang diharamkan akan digantung sementara menunggu keputusan Mahkamah Agung.