INTERNATIONAL
Pengundi Kanada kembalikan Parti Liberal ke tampuk pemerintahan

Carney berkempen berdasarkan kepakaran kewangannya untuk menangani ketidakpastian ekonomi global yang dicetuskan oleh tarif dan perjanjian perdagangan baharu dengan AS. - Gambar/ AP
TRENTON (Kanada): Rakyat Kanada pada Isnin memilih untuk mengembalikan Parti Liberal ke tampuk pemerintahan bagi tempoh empat tahun lagi, meletakkan kepercayaan kepada Perdana Menteri Mark Carney untuk menangani ketidaktentuan yang berpunca daripada tarif dan retorik pengilhakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Ringkasan AI
- Rakyat Kanada memilih Parti Liberal untuk memerintah selama empat tahun lagi, dengan Mark Carney sebagai Perdana Menteri.
- Carney berkempen berdasarkan kepakaran kewangannya untuk menangani ketidakpastian ekonomi global yang dicetuskan oleh tarif dan perjanjian perdagangan baharu dengan AS.
- Ketua Parti Konservatif, Pierre Poilievre, gagal menarik sokongan majoriti walaupun mendahului dalam tinjauan pendapat selama beberapa bulan.
Namun, mesej Poilievre gagal menarik sokongan majoriti, meskipun beliau mendahului Parti Liberal dalam tinjauan pendapat selama beberapa bulan.
Kekalahan Poilievre dijangka menjadi tamparan hebat, memandangkan partinya sebelum ini secara konsisten mengatasi Liberal sehingga perubahan poltik berlaku secara mendadak berikutan peletakan jawatan Trudeau.
Carney, yang baru menyertai politik, mengambil alih kepimpinan selepas konvensyen Parti Liberal, sekali gus melonjakkan sokongan awam terhadap parti itu.
Menjelang hari terakhir pengundian pada 27 April, Parti Liberal mencatatkan kelebihan empat mata berbanding Parti Konservatif.
Pengundi dilihat memberi respons terhadap imej Carney sebagai pemimpin berpengalaman dalam menguruskan dasar ekonomi dan berdepan ketidaktentuan dasar Trump.
Bagaimanapun, Carney tidak mempunyai pengalaman politik sebelum ini, menimbulkan persoalan tentang bagaimana beliau akan beralih ke jawatan tertinggi Kanada.
Sebanyak 343 kerusi dipertandingkan di seluruh negara, dengan 172 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan di Dewan Rakyat.
Memandangkan keluasan Kanada merentasi enam zon waktu, pengiraan undi masih berlangsung dan belum dapat dipastikan sama ada Carney akan membentuk kerajaan secara majoriti atau minoriti.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami