DUNIA
Peningkatan membimbangkan isu kesihatan mental dalam kalangan remaja Australia - Kajian

Pelajar perempuan menunjukkan tahap tekanan, keresahan dan kemurungan yang lebih tinggi berbanding pelajar lelaki sejak awal sekolah menengah. - Gambar hiasan/Unsplash
SYDNEY: Hampir seorang daripada empat pelajar sekolah menengah di Australia mengalami tekanan psikologi serius, dengan kadar kemurungan dan keresahan meningkat, lapor Xinhua memetik satu kajian di negara itu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Kesihatan Awam Australia pada Rabu, pelajar perempuan menunjukkan tahap tekanan, keresahan dan kemurungan yang lebih tinggi berbanding pelajar lelaki sejak awal sekolah menengah, dengan gejala semakin memburuk dari semasa ke semasa, terutamanya dalam kalangan mereka yang datang dari latar belakang kurang berkemampuan.
Kajian itu melibatkan lebih 6,600 pelajar dari 71 buah sekolah, yang ditemu bual setiap tahun dari Tahun 7 hingga Tahun 10.
Menjelang Tahun 10, hampir 30 peratus daripada remaja yang disoal selidik menunjukkan tanda-tanda kemurungan utama, manakala hampir satu daripada empat melaporkan mengalami tekanan psikologi tinggi atau keresahan tahap sederhana hingga teruk.Masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja disifatkan sebagai "terlalu lazim dan membimbangkan", dengan gejala yang bertambah buruk seiring usia, menurut ketua penyelidik, Scarlett Smout dari Pusat Penyelidikan Matilda, Universiti Sydney.
Kajian yang diterbitkan dalam Australian and New Zealand Journal of Public Health itu menekankan keperluan mendesak untuk program pencegahan dan sokongan yang disasarkan khususnya kepada pelajar perempuan dan remaja daripada kumpulan kurang bernasib baik.
Kesihatan mental remaja kini dianggap sebagai krisis kesihatan awam yang semakin meruncing, sekali gus memerlukan lebih banyak penyelidikan dan pelaburan dalam usaha pencegahan.
Persatuan Kesihatan Awam Australia turut mengumumkan penganjuran Persidangan Pencegahan dan Promosi Kesihatan Mental yang pertama pada Mac 2026 bagi meningkatkan kefahaman serta mencari penyelesaian terhadap cabaran kesihatan mental remaja.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami