Kira-kira 600,000 ke 800,000 warga Amerika Syarikat dijangka menyaksikan hari bersejarah upacara angkat sumpah jawatan Presiden ke-57 esok.

Angka tersebut bagaimanapun jauh lebih rendah berbanding ketika Barack Obama dipilih selaku presiden kulit hitam pertama yang mengangkat sumpah empat tahun lalu.

Persiapan akhir giat dijalankan bagi menjayakan acara angkat sumpah Obama sebagai presiden buat penggal kedua.

Beliau dipilih semula menerajui pentadbiran White House selepas mencapai kemenangan pilihan raya presiden November lalu.

Pada 2008, seramai 1.8 juta rakyat Amerika menyaksikan upacara bersejarah tersebut.

Bagi upacara kali ini, keluarga Obama akan mengetuai perarakan di Pennsylvania Avenue dan pasangan Barack dan Michelle akan turut menari bersama.

Michelle dan Jill, iaitu isteri kepada Joe Biden akan turut mengadakan satu konsert amal untuk kanak-kanak negara itu, seperti yang telah dilakukan empat tahun lalu.