NEW DELHI: Sidang Kemuncak BRICS ke-18 bermula hari ini di Bharat Mandapam, New Delhi, menghimpunkan pemimpin negara anggota, negara rakan serta jemputan khas dari seluruh dunia bagi membincangkan isu tadbir urus global, perdagangan, pelaburan, keselamatan tenaga, inovasi dan kerjasama Selatan Global.
India menjadi pengerusi BRICS bagi tahun 2026 dan menjadi tuan rumah persidangan yang berlangsung sehingga esok.
Persidangan kali ini menarik perhatian besar media antarabangsa dengan kehadiran ratusan pengamal media dan delegasi rasmi yang membuat liputan perkembangan terkini blok ekonomi berpengaruh tersebut.
Antara pemimpin utama yang dijadual hadir ke sidang kemuncak ialah Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden China Xi Jinping, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Iran Masoud Pezeshkian serta beberapa pemimpin negara anggota dan negara rakan BRICS.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut berada di New Delhi bagi menghadiri program berkaitan BRICS sebagai salah satu pemimpin negara rakan yang dijemput ke sidang kemuncak berkenaan.
Kehadiran beliau mencerminkan usaha Malaysia memperkukuh hubungan dengan negara-negara ekonomi sedang pesat membangun selain memperluaskan kerjasama perdagangan dan pelaburan dengan blok tersebut.
BRICS yang asalnya dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan kini berkembang menjadi blok yang lebih besar selepas penyertaan beberapa negara baharu termasuk Mesir, Ethiopia, Iran, Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Arab Saudi.
Perkembangan itu menjadikan BRICS semakin signifikan dalam landskap ekonomi dan geopolitik global.
India mengambil alih jawatan pengerusi BRICS pada 1 Januari 2026 dengan tema “Building for Resilience, Innovation, Cooperation and Sustainability”, yang memberi penekanan kepada daya tahan ekonomi, inovasi, kerjasama serta pembangunan mampan.
Antara hasil yang dinanti-nantikan daripada sidang kemuncak tahun ini ialah pengeluaran Deklarasi New Delhi, yang dijangka menggariskan pendirian bersama negara anggota mengenai pelbagai cabaran global semasa.
Sebelum ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan minat Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan BRICS sebagai sebahagian daripada strategi memperluas kerjasama ekonomi dengan negara-negara Selatan Global dan pasaran sedang berkembang.
Kehadiran beliau di New Delhi memberi peluang untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa pemimpin dunia di sela persidangan serta membincangkan peluang perdagangan, pelaburan dan kerjasama strategik yang boleh memberi manfaat kepada Malaysia.
Sidang Kemuncak BRICS 2026 dijangka menjadi antara platform diplomatik paling penting tahun ini ketika dunia berdepan ketidaktentuan ekonomi, ketegangan geopolitik dan cabaran terhadap sistem perdagangan global.