KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut baik langkah kerajaan memperkukuh kerangka perundangan negara menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 khususnya peruntukan yang membolehkan tindakan diambil terhadap pelaku yang beroperasi dari luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata tindakan itu boleh dilaksanakan sekiranya kesalahan berkenaan melibatkan sistem komputer di Malaysia atau mangsanya adalah warga tempatan.
Beliau berkata jenayah siber dan penipuan dalam talian kini tidak lagi terbatas oleh sempadan geografi, dengan sindiket boleh beroperasi dari luar negara menggunakan infrastruktur digital, teknologi kecerdasan buatan (AI) dan penyamaran identiti untuk menyasarkan mangsa di Malaysia.
"Justeru, peruntukan bidang kuasa rentas sempadan ini memberikan asas perundangan yang lebih jelas bagi membolehkan tindakan siasatan dan penguatkuasaan dilaksanakan terhadap pelaku yang berada di luar negara," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Rusdi berkata pengukuhan kuasa penyiasatan berkaitan pemeliharaan dan penzahiran data, pengumpulan data trafik serta pemintasan komunikasi turut penting dalam usaha menangani jenayah siber.
Beliau berkata peruntukan itu mampu memperkasakan usaha PDRM membanteras sindiket penipuan dalam talian, meningkatkan keberkesanan siasatan dan memberi kesan pencegahan kepada penjenayah yang beranggapan mereka boleh berlindung di sebalik sempadan negara atau teknologi digital.
"JSJK dan PDRM kekal komited untuk memastikan ruang siber tidak dijadikan tempat perlindungan bagi penjenayah… usaha memerangi jenayah siber memerlukan perundangan yang relevan, keupayaan penguatkuasaan yang responsif serta kerjasama antara agensi dan negara bagi melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah digital yang semakin kompleks," katanya.
Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang rasmi Parlimen berkata Fasal 2 RUU Jenayah Siber 2026 membolehkan tindakan undang-undang dikenakan terhadap pelaku di luar negara seolah-olah kesalahan itu dilakukan di Malaysia.
Ahmad Zahid berkata penguatkuasaan RUU itu akan memperkasakan agensi penguatkuasaan menerusi pemberian kuasa penyiasatan yang lebih responsif dan peruntukan bidang kuasa rentas sempadan bagi menyekat aktiviti jenayah siber termasuk penipuan dalam talian menggunakan AI.
RUU Jenayah Siber 2026, yang diluluskan Parlimen pada Julai lepas, digubal bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 [Akta 563] selain menangani jurang perundangan termasuk berkaitan jenayah siber rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi AI.
-- BERNAMA