Ringkasan AI
- Polis Melaka menahan 13 warga asing termasuk 12 warga China dan seorang warga Taiwan dalam serbuan sindiket penipuan cinta dan mata wang kripto tidak wujud.
- Sindiket dipercayai menyasarkan mangsa warga China melalui aplikasi, menggunakan visa pelancong, dan beroperasi di Melaka sejak tiga bulan lalu.
- Polis merampas peralatan bernilai RM50,000 dan semua suspek direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.
MELAKA: Polis Melaka berjaya menumpaskan sindiket penipuan cinta atau love scam dalam talian dan pertukaran mata wang kripto tidak wujud dengan penahanan 13 warga asing di sebuah rumah di Taman Kota Shahbandar, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Halim Abas berkata kesemua suspek yang terdiri daripada 12 warga China termasuk seorang wanita dan seorang lelaki warga Taiwan berusia antara 24 hingga 36 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 3 petang semalam.
Beliau berkata sindiket berkenaan menyasarkan mangsa dalam kalangan warga China menerusi beberapa aplikasi.
"Siasatan awal mendapati ahli sindiket berkenaan memasuki Malaysia dari Filipina, Taiwan, Laos dan China dengan menaiki kapal terbang sejak Februari hingga September lepas.
"Kesemua suspek dipercayai menggunakan visa pelancong untuk memasuki negara ini dan mula beroperasi di premis berkenaan kira-kira tiga bulan lepas," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata sindiket itu memperdaya mangsa dengan kata-kata manis dan janji palsu serta meminta mangsa memindahkan wang dalam urusan pertukaran mata wang kripto yang menjanjikan pulangan lumayan.
Katanya, nilai kerugian yang dialami mangsa sindiket itu masih dalam siasatan dan polis turut merampas sebanyak 12 komputer riba pelbagai jenama, sebuah komputer meja, 26 telefon bimbit serta sebuah router yang dianggarkan keseluruhan bernilai RM50,000.
Halim berkata kesemua suspek direman selama empat hari hingga 8 Nov ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan kata-kata manis serta janji palsu individu tidak dikenali, selain disaran membuat semakan nombor telefon atau akaun bank yang meragukan menerusi portal Semak Mule di https://semakmule.rmp.gov.my.
"Mangsa penipuan juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 dengan segera bagi membolehkan tindakan menyekat transaksi kewangan diambil," katanya.
-- BERNAMA