IPOH: Penduduk dan pengguna jalan raya diminta berwaspada serta tidak melakukan sebarang tindakan berbahaya sekiranya terserempak dengan harimau belang yang dikesan berkeliaran di kawasan Felda Lepang Nenering, Gerik semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Dr Fazil Abdul Patah berkata pemantauan berkala akan dilakukan di kawasan berkenaan bagi menangani sebarang ancaman, sekali gus menjamin keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya.
“Pihak kami menerima laporan daripada penduduk sekitar berhubung kehadiran seekor harimau belang di tepi jalan berhampiran Felda Lepang Nenering dan Kampung Alai semalam.
“Berdasarkan analisis awal terhadap rakaman video yang diperoleh, haiwan itu disahkan sebagai seekor harimau belang dewasa, namun perincian lanjut mengenai anggaran umur dan jantinanya masih belum dapat dipastikan secara khusus,” katanya menerusi kenyataan kepada Bernama hari ini.
Semalam, tular satu rakaman video berdurasi dua minit di media sosial yang memaparkan kelibat seekor harimau belang di tepi jalan raya, dipercayai di kawasan sekitar Felda Lepang Nenering.
Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial dengan sebilangan besar menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk dan pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Selain itu, Fazil berkata pihaknya juga tidak menolak kemungkinan harimau belang itu adalah pemangsa sama yang dikesan menerusi penemuan bekas tapak kaki di kawasan kebun berhampiran Felda Lepang Nenering pada 14 Okt lepas.
“Ini berdasarkan jarak antara kedua-dua lokasi yang berdekatan dan terletak dalam kawasan Hutan Simpang Bintang Hijau yang sememangnya menjadi habitat semula jadi harimau itu,” katanya.
-- BERNAMA