MOSCOW: Ratusan penunjuk perasaan bertempur dengan polis di Portsmouth, England, susulan ketibaan 140 pendatang haram yang menyeberangi Selat Inggeris, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik akhbar harian Britain, The Telegraph.
Sebelum ini, Sky News melaporkan bahawa pihak penguat kuasa undang-undang Britain telah memintas sebuah bot yang membawa 140 pendatang secara haram di Selat Inggeris. Selepas bot itu dihentikan di laluan berkenaan, penumpangnya telah dilencongkan ke Portsmouth.
Menurut akhbar itu, penunjuk perasaan menyekat satu-satunya jalan laluan masuk ke jeti yang dipercayai tempat menempatkan pendatang yang tiba. Polis menggunakan perisai dan semburan pemedih mata, namun gagal menolak penunjuk perasaan keluar dari jeti berikutan bilangan mereka yang lebih ramai.
Pada 2025, lebih 41,000 imigran tiba secara haram di UK menaiki bot menyeberangi Selat Inggeris, bilangan kedua tertinggi pernah direkodkan selepas paras tertinggi pada 2022.
-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI