RAMALLAH: Kabinet Palestin memberi amaran mengenai tercetusnya wabak penyakit serius dalam kalangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza susulan kemerosotan teruk keadaan kesihatan dan persekitaran, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Situasi itu termasuk kesan buruk pencemaran air dan kemusnahan sistem kumbahan yang menyumbang kepada peningkatan mendadak tikus dan serangga, termasuk nyamuk.
Keadaan itu disebabkan oleh sekatan berterusan rejim Israel terhadap kemasukan bekalan sanitasi dan kebersihan, bahan perubatan serta peralatan penting yang diperlukan untuk mengurus dan merawat longgokan sampah serta air sisa di pusat pemindahan dan tempat perlindungan sementara.
Kabinet itu turut menggesa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan semua badan antarabangsa berkaitan agar memikul tanggungjawab masing-masing serta mengambil tindakan segera untuk menyediakan bekalan perubatan dan pencegahan yang diperlukan bagi membendung penularan penyakit, melindungi kesihatan awam dan mencegah wabak lebih buruk.
Dalam konteks sama, Kabinet Palestin mengecam keputusan kerajaan Israel membina jalan kolonial baharu di Tebing Barat yang diduduki dengan mengorbankan tanah milik rakyat Palestin, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap legitimasi antarabangsa dan pengukuhan dasar peluasan penempatan haram, selain sokongan langsung terhadap keganasan peneroka haram Israel.
Kabinet itu memaklumkan lebih 1,600 serangan direkodkan pada April sahaja, dilakukan oleh peneroka haram dan tentera pendudukan Israel, termasuk serangan fizikal, pemusnahan tanah pertanian, pembakaran tanaman, sekatan akses ke tanah, rampasan harta benda serta perobohan rumah dan kemudahan awam -- menggambarkan peningkatan sistematik yang bertujuan menjejaskan kehidupan rakyat Palestin.
-- BERNAMA-WAFA