Skip to main content

Dunia

Penyertaan semula Myanmar dalam mesyuarat rasmi ASEAN ‘masih jauh’ - Lazaro

At the #ASEAN–UK Post-Ministerial Conference #PMC, ASEAN Foreign Ministers warmly welcomed newly-appointed UK Foreign Secretary   @Ed_Miliband . -- X Ma. Theresa P. Lazaro
Mengenai bantuan kemanusiaan, Lazaro (depan, tengah) mengesahkan beliau akan mengetuai delegasi ke Myanmar pada suku keempat 2026, termasuk mengunjungi beberapa kawasan yang dikuasai pertubuhan etnik. - Foto X Ma. Theresa P. Lazaro
Advertisement

MANILA: Penyertaan semula pemimpin Myanmar dalam mesyuarat rasmi ASEAN “masih jauh” dan dijangka tidak berlaku pada 2026 atau ketika Singapura mempengerusikan blok itu tahun depan.

Setiausaha Luar Filipina Ma. Theresa Lazaro berkata masih terdapat persoalan mengenai pematuhan kerajaan Myanmar terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC), yang kekal sebagai rujukan utama ASEAN dalam menangani krisis di negara itu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-59 di Pasay City pada Khamis, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

“Buat masa ini, saya boleh katakan perkara itu masih jauh. Pada ketika ini, Konsensus Lima Perkara masih menjadi dokumen asas yang menjadi rujukan kami. 

“Dalam perbincangan dengan Menteri Luar Myanmar, banyak persoalan dibangkitkan mengenai pematuhan mereka terhadap Konsensus Lima Perkara. 

"Perkara itu mungkin belum berlaku, tetapi kita akan melihat sejauh mana pematuhan yang dapat mereka tunjukkan,” kata beliau. 

Bagaimanapun, Lazaro berkata ASEAN akan terus bersabar dan menilai sebarang kemajuan yang mampu dicapai Myanmar dalam pelaksanaan 5PC.

“Sekiranya terdapat pematuhan, keadaan akan berubah. 

"Isunya bukan sama ada terdapat negara yang tidak mahu Myanmar kembali menduduki kerusinya, tetapi benar-benar bergantung pada pematuhan terhadap 5PC,” katanya.

Mengenai bantuan kemanusiaan, Lazaro mengesahkan beliau akan mengetuai delegasi ke Myanmar pada suku keempat 2026, termasuk mengunjungi beberapa kawasan yang dikuasai pertubuhan etnik.

“Matlamat utama misi ini adalah untuk mendekati komuniti rentan di Myanmar.

“Sudah tentu, kebenaran akan dimohon daripada kerajaan dan perkara itu akan menunjukkan sejauh mana kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan kami,” kata beliau. 

Menurut Lazaro, misi itu akan diselaraskan dengan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA Centre) yang berpangkalan di Jakarta serta beberapa pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, termasuk Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Médecins Sans Frontières dan Program Makanan Sedunia.

-- BERNAMA-PNA

 

 

Must Watch Video

Advertisement