PERALIHAN tenaga global kini berdepan fasa lebih mencabar apabila ketegangan geopolitik, gangguan bekalan dan peningkatan permintaan tenaga mula memperlahankan momentum transformasi, menurut laporan Energy Transition Index (ETI) 2026 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF).
Laporan itu mendapati landskap tenaga dunia semakin terpecah-pecah dengan negara mula mengimbangi semula keutamaan antara kelestarian, kemampuan kos dan keselamatan tenaga.
Walaupun pelaburan global mencatat rekod tertinggi sebanyak AS$3.3 trilion pada tahun 2025 termasuk AS$2.3 trilion dalam tenaga bersih, kemajuan peralihan tenaga dilihat tergendala buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad.
ETI menunjukkan wujud jurang yang semakin ketara antara pelaburan modal dan tahap kesediaan sebenar negara untuk melaksanakan peralihan tenaga secara mampan, menandakan pelaburan semata-mata tidak lagi mencukupi untuk mengekalkan momentum.
Ketegangan di Selat Hormuz turut menonjolkan kelemahan struktur dalam sistem tenaga global yang masih terdedah kepada kejutan geopolitik.
Negara-negara ekonomi sedang pesat membangun yang bergantung kepada import tenaga dilihat paling terkesan, apabila risiko bekalan dan kekangan infrastruktur meningkatkan tekanan terhadap kestabilan harga dan keselamatan tenaga dalam jangka panjang.
Dari sudut serantau, perkembangan peralihan tenaga menunjukkan jurang yang semakin melebar.
Negara Nordik terus mendahului dari segi prestasi keseluruhan, manakala China mencatat pelaburan tenaga bersih pada skala besar. India dan Singapura pula menunjukkan peningkatan ketara dari segi kesediaan peralihan, sementara rantau Sub-Sahara Afrika mencatat kemajuan paling kukuh. Namun, ketidakseimbangan kekal ketara apabila sebahagian besar pelaburan tenaga bersih tertumpu kepada beberapa ekonomi sahaja.
Dalam masa sama, peningkatan permintaan elektrik global sebanyak 3% yang didorong oleh elektrifikasi, infrastruktur digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) menjadi cabaran baharu kepada peralihan tenaga.
WEF menegaskan keperluan untuk memperkukuh daya tahan sistem tenaga, mempercepat pembangunan infrastruktur grid, serta memastikan aliran pelaburan lebih seimbang khususnya ke negara membangun bagi memastikan kesinambungan dan kejayaan peralihan tenaga global.