ISTANBUL: Menteri Pendidikan Perancis, Edouard Geffray pada Rabu mengumumkan, telefon bimbit akan dilarang di sekolah menengah bermula 1 Sept ini, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Geffray berkata kepada penyiar Franceinfo, undang-undang yang melarang penggunaan telefon bimbit itu akan diwartakan pada musim panas ini sebelum dikuatkuasakan mulai September.
“...Saya juga akan menghantar beberapa garis panduan kepada pengetua sekolah dalam masa terdekat supaya mereka dapat melaksanakannya. Saya menganggap perkara ini amat penting bagi pelajar kita,” katanya.
Perancis juga sedang mempertimbangkan larangan penggunaan media sosial bagi golongan bawah umur yang berusia di bawah 15 tahun, namun, Geffray berkata, langkah itu masih menunggu kelulusan.
“Kami sedang menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Eropah berhubung satu lagi cadangan, iaitu larangan media sosial bagi golongan bawah umur yang berusia di bawah 15 tahun,” jelas beliau.
Semakin banyak negara Eropah, termasuk Perancis, mula mengambil langkah awal atau menyatakan sokongan terhadap larangan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak di bawah had umur tertentu.
-- BERNAMA-ANADOLU