BEIJING: China akan terus menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk Semenanjung Gaza bagi membantu penduduk tempatan yang terjejas akibat konflik Palestin-Israel.

Jurucakap Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China (CIDCA) Xu Wei pada Khamis berkata China dukacita menyaksikan kehilangan nyawa dan kecederaan melibatkan orang awam serta situasi kemanusiaan yang semakin parah berikutan konflik itu.

Bagi membantu mengurangkan situasi kemanusiaan di Gaza, kerajaan China memutuskan untuk menghantar lagi bantuan kemanusiaan bernilai 15 juta yuan (RM9.8 juta) yang merangkumi bahan makanan dan ubat-ubatan kepada Gaza.

Terdahulu, China memberikan bantuan tunai sebanyak US$1 juta (RM4.77 juta) melalui Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA) dan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat.

-- BERNAMA